LUMUT: Kementerian Pertahanan tidak berhasrat menangguhkan projek-projek strategik di bawah kementerian itu termasuk pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), meskipun kerajaan bercadang menangguhkan sementara pelaksanaan projek berskala besar.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sebarang projek yang melibatkan aspek keselamatan dan kedaulatan negara akan diteruskan seperti dirancang selaras dengan keutamaan yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Buat masa ini kita tidak tangguhkan kerana apa saja aspek yang melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara termasuk apa yang dirancang untuk masa depan, perlu diteruskan.
“Selain itu, projek-projek semasa seperti LCS juga akan dilaksanakan mengikut jadual,” katanya kepada pemberita di Majlis Peluncuran Ikhtiar Autisme ATM (IA-ATM) 2025/2026 di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Lautan Kasih di Pangkalan TLDM Lumut, di sini semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebarang kelewatan atau penangguhan projek bukan sahaja boleh menjejaskan kesiapsiagaan pertahanan, malah berpotensi meningkatkan kos kewangan kerajaan.
“Apa yang paling penting adalah untuk menjaga kedaulatan dan mengoptimumkan keupayaan pertahanan negara. Jadi buat masa ini kita memang kekalkan projek-projek yang telah dirancang dan yang telah dilaksanakan,” katanya.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, kementerian juga akan mengenal pasti langkah penjimatan yang boleh dilaksanakan secara berhemah tanpa menjejaskan aspek operasi dan latihan ATM.
Katanya, penjimatan tenaga di bangunan pejabat antara yang menjadi keutamaan kerana ia bukan sahaja mengurangkan penggunaan bahan api, malah menjimatkan perbelanjaan operasi secara keseluruhan.
“Bagaimanapun, dari segi operasi, sebarang langkah penjimatan tidak akan menjejaskan kelancaran operasi, sama ada di darat, laut, atau udara, kerana aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan dan keupayaan pasukan sentiasa dioptimumkan,” katanya. – UTUSAN









