CIMIC TUDM buka akses kemudahan kesihatan kepada Orang Asli

CIMIC TUDM buka akses kemudahan kesihatan kepada Orang Asli

PEGAWAI dan anggota Institut Perubatan Penerbangan (IPP) TUDM bersama masyarakat Orang Asli dan pelajar sekolah yang terlibat program Kerjasama Awam- Tentera (CIMIC) di SMK Pulau Indah, Pelabuhan Klang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi Institut Perubatan Penerbangan (IPP) melaksanakan program Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) yang memberi fokus kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat menerusi Medical Civic Action Programme (MEDCAP) dan Dental Civic Action Programme (DENCAP) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Indah.

Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan dan pergigian di samping memperkukuh hubungan silaturahim antara TUDM dan masyarakat melalui penyampaian perkhidmatan secara langsung kepada golongan yang memerlukan.

 

ANGGOTA pembantu perubatan IPP membantu masyarakat Orang Asli membuat pemeriksaan kesihatan pada Program Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) di SMK Pulau Indah, Pelabuhan Klang, kelmarin.

 

Ketua Bahagian Aeromedical IPP, Kolonel Dr. Mohd. Izwan Hussin berkata, CIMIC sebagai program mendekatkan kemudahan perubatan dan kesihatan daripada TUDM kepada masyarakat khususnya komuniti Orang Asli yang diadakan pada setiap tahun.

Katanya, kali ini program khidmat masyarakat itu diadakan di Pulau Indah dengan menyasarkan komuniti Orang Asli dari Pulau Indah, Pulau Ketam dan Tanjung Harapan di samping kehadiran penduduk setempat.

“Dalam program ini, kita sediakan kemudahan seperti pemeriksaan kesihatan umum dan pergigian, pameran dan pendidikan kesihatan serta pergigian, perkhidmatan farmasi dan pembekalan ubat-ubatan serta demonstrasi kesihatan.

“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya 200 kehadiran khususnya dalam kalangan golongan minoriti itu dan alhamdulillah saya lihat lebih daripada itu yang hadir. Kita juga menyediakan bantuan pengangkutan dari kawasan kampung ke tempat program serta ambulans sekiranya ada keperluan membawa mereka ke hospital,” katanya.

Seramai 60 pegawai dan anggota IPP TUDM bersama pegawai daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang dan Jabatan Kemajuan Orang Asli berganding bahu menjayakan pelbagai pengisian program termasuk MEDCAP dan DENCAP, ceramah kesihatan, ceramah pergigian serta penyampaian cenderahati kepada komuniti setempat.

Masyarakat Orang Asli diberi penerangan tentang cara penjagaan gigi dalam program Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) di SMK Pulau Indah, Pelabuhan Klang. – UTUSAN/AFIQ RAZALI

Malah, program itu juga merupakan sebahagian daripada usaha mendukung Teras Ke-4 Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030 yang memberi penekanan kepada pengukuhan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

Dr. Mohd. Izwan menambah, pendekatan itu memperkukuh hubungan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat melalui kerjasama strategik yang menyokong kesejahteraan rakyat serta menyemarakkan semangat HANRUH.

“Program seumpama itu membuktikan komitmen berterusan TUDM bukan sahaja dalam memastikan kesiapsiagaan pertahanan udara negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.

“Malah turut memainkan peranan sebagai sebuah angkatan yang prihatin terhadap kesejahteraan rakyat dengan menyalurkan kepakaran serta perkhidmatan kepada komuniti selaras dengan aspirasi TUDM,” ujarnya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Pulau Indah, Pulau Ketam dan Bagan Hailam, Jamil Kamal memberitahu penduduk kampung amat menghargai program sebegini kerana memberi akses kemudahan kesihatan kepada mereka.

“Banyak juga program-program seperti itu dari pasukan beruniform lain, cikgu-cikgu sekolah dan bahagian kesihatan lain. Jadi bila ada program sebegitu, kita galakkan kanak-kanak dan warga emas. Terima kasih IPP dan TUDM,” katanya.

Masyarakat Orang Asli mengambil kesempatan daripada program Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) TUDM membuat pemeriksaan kesihatan.

Wakil Jawatankuasa Kampung (JKK) Orang Asli Pulau Indah, Azizan Sarip, 34, berkata penganjuran CIMIC memberi peluang kepada penduduk yang ada masalah kesihatan untuk membuat pemeriksaan dan mendapatkan nasihat doktor.

“Ada yang sakit tetapi tidak tahu macam mana hendak ke klinik. Mereka hendak pergi sendiri pun takut. Jadi bila ada CIMIC, mereka boleh datang. Ada antara mereka hidap masalah kurang darah, kurang gula dan sebagainya,” jelasnya.

Bagi seorang pengunjung, Norol Kamal, 21, dia mengambil peluang dalam program CIMIC untuk membuat pemeriksaan dan menganggapnya penting supaya dapat memastikan tahap kesihatannya sentiasa baik.

“Kali terakhir saya ke klinik pada beberapa bulan lalu kerana masalah gastrik.

“Jadi, saya manfaatkan usia muda dengan membuat pemeriksaan kesihatan untuk memastikan boleh bekerja dan membantu keluarga,” tuturnya.

Melalui program Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) TUDM hubungan baik antara masyarakat Orang Asli dan tentera dapat dijalinkan.

Sementara itu, bagi Penolong Kanan Kokurikulum SMK Pulau Indah, Zahanim Zainal Abidin, pihaknya mengalu-alukan kehadiran dan penganjuran program bersama IPP dan TUDM yang bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk tetapi turut mewujudkan jalinan kerjasama antara mereka dan sekolah.

“Kita berharap selepas ini akan ada program lain bersama TUDM, kita amat mengalu-alukan perkongsian kepakaran dan kemahiran dimiliki mereka dengan guru dan pelajar seperti aktiviti badan beruniform, perkhemahan dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN