Agih pampasan terus kepada pesawah

Agih pampasan terus kepada pesawah

PETANI tidak menerima hasil yang baik untuk penanaman padi Musim 1/2026 ekoran masalah kelewatan baja yang diedarkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan disaran menyalurkan pampasan kepada pesawah yang terjejas akibat kelewatan bekalan baja secara terus kepada penerima yang layak bagi mengelakkan ketirisan, selain memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran.

Pesawah yang juga Setiausaha Jawatankuasa Titian Kasih Bekas Kakitangan LPN, Mashitoh Abu Seman, 68, berkata, mekanisme penyaluran bantuan itu boleh dilakukan melalui agensi berkaitan yang mempunyai rekod pesawah.

Menurutnya, data yang dimiliki Padiberas Nasional Berhad (Bernas) boleh dimanfaatkan untuk mengenal pasti pesawah yang layak berdasarkan rekod subsidi, keluasan sawah dan maklumat berkaitan tanaman padi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bernas mempunyai data lengkap dalam buku subsidi pesawah. Melalui rekod itu, kerajaan boleh mengenal pasti siapa yang benar-benar mengusahakan sawah dan keluasan tanah mereka, termasuk kerugian yang ditanggung pada musim ini akibat kelewatan baja subsidi.

“Langkah ini penting bagi memastikan bantuan sampai kepada pesawah sebenar, bukannya melalui orang tengah yang boleh membuka ruang kepada ketirisan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang juga Pengerusi Peladang Nita mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, bahawa kerajaan akan meneliti mekanisme penyaluran bantuan kepada petani yang mengalami kerugian akibat kelewatan bekalan baja.

Mashitoh berkata, agihan bantuan juga perlu mengambil kira keadaan pesawah yang menyewa tanah kerana penerima perlu dikenal pasti sebagai pengusaha sebenar.

“Apa yang penting ialah mengenal pasti siapa yang benar-benar mengusahakan sawah dan memastikan rekod subsidi mereka dikemas kini supaya tidak berlaku ketirisan pada peringkat pengagihan,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan menteri itu sedikit sebanyak melegakan pesawah yang bimbang berikutan hasil tanaman terjejas pada musim baharu akibat bekalan baja yang tidak mencukupi.

“Perkara ini melegakan kami. Masing-masing sudah terdesak kerana hasil padi musim ini merosot sehingga menyebabkan kerugian lebih 50 peratus. Ada petani yang tidak mendapat hasil selepas ditolak hutang.

“Jadi, kami berharap bantuan ini dapat disalurkan segera supaya petani dapat memulakan kerja penanaman padi bagi musim baharu,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Jamil Aziz, 65, berkata, bantuan yang disalurkan kelak akan digunakan untuk mengusahakan tanaman baharu.

“Salurkan secepat mungkin kerana kami hendak menanam padi pun sudah tidak cukup modal. Semua upah sudah naik, sedangkan padi tidak memberikan hasil seperti diharapkan.

“Satu relung menghasilkan kurang daripada dua tan, malah ada yang cuma mendapat 1.2 tan. Selepas membayar hutang, tidak banyak yang dapat kami bawa pulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini