SUDAH 37 tahun serangan komunis di negara ini telah berlalu namun kesan dan parut masih dalam ingatan rakyat Malaysia khususnya veteran pasukan keselamatan yang berjuang mempertahankan negara.
Bagaimanapun kini veteran tersebut sama ada penerima Pingat Gagah Berani (PGB), Seri Pahlawan Perkasa (SP) dan bukan penerima kedua-dua pingat kurang diberi perhatian oleh semua pihak, ia seolah-olah jasa pengorbanannya kini tenggelam daripada dikenang walaupun usaha pihak perseorangan atau ada aktivis sejarah cuba ketengahkan veteran yang masih hidup tetapi dipandang sepi oleh generasi Z dan generasi lalu.
Ada yang tidak mempunyai pingat tetapi mereka bawa kisah perjuangan untuk dikongsi kepada anak-anak muda lapisan bangsa dan agama.
Dengan ada media sosial seperti audiosiar dan video dapat sedikit sebanyak berkongsi kepada generasi sekarang yang kini makin hanyut tidak mengenal sejarah kerana generasi sekarang terlalu aman hingga tidak ada rasa untuk menghargai pengorbanan dulu.
Sebagai contoh, aktivis sejarah, Azlan Sharif giat mengusulkan pengorbanan lapan anggota Pasukan Polis Hutan (PPH, kini PGA) yang terkorban dalam Operasi Ukur pada Ogos 1975 supaya dibawa ke pihak Polis Diraja Malaysia dan Istana Negara untuk diiktiraf melalui pemberian pingat setelah beliau melakukan inisiatif mencari waris kelapan-lapan wira gugur dan mendirikan papan peringatan.
Seorang lagi aktivis, Mejar (B) Syakiren Yusoff pula kerap menemubual wira beret hijau tidak didendang melalui saluran Youtube.
Inilah sebahagian kecil usaha kedua-dua orang ini untuk mengangkat jasa wira yang sudah dilupakan, tetapi hakikatnya sepatutnya usaha ini harus diangkat bersama-sama bukan sekadar di muzium, kaca televisyen, media sosial sahaja tetapi semua pihak bekerjasama untuk didokumentasikan.
Diharap sumbangan mereka dihargai sebenar-benarnya tanpa ada jurang, kerana pengorbanan mereka ketika menentang komunis itulah generasi sekarang dapat nikmati berbanding harga pengorbanan diterima oleh para veteran melalui kecederaan kekal, kematian dan keringat. – UTUSAN
PEMINAT SEJARAH
Ipoh











