Elaun RM2,000 galak veteran ATM kembali bekerja 

Elaun RM2,000 galak veteran ATM kembali bekerja 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Kementerian Pertahanan (Mindef) menyediakan elaun sebanyak RM2,000 sebulan selama tempoh setahun bagi membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ingin kembali bekerja menerusi program PRO WIRA.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program itu dirangka khusus untuk memastikan veteran ATM tidak berdepan kesukaran hidup selepas bersara.

Menurut beliau, program itu menyediakan peluang latihan semula dan peningkatan kemahiran kepada veteran bagi memperkasa keupayaan sedia ada selaras dengan keperluan industri semasa.

“Kerajaan akan menyediakan elaun sebanyak RM2,000 sebulan selama setahun bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan dunia pekerjaan sepanjang tempoh latihan itu.

“Latihan tersebut diharapkan dapat meningkatkan kebolehpasaran veteran dengan sasaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kira-kira 5,000 anggota setahun berjaya diserap ke dalam sektor pekerjaan.

“Program PRO WIRA membuka ruang kepada veteran yang tidak memiliki sijil diploma atau ijazah untuk mengikuti latihan dalam industri atau syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-Persatuan Veteran ATM di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan turut memperkenalkan program kesediaan untuk bekerja yang menumpukan kepada latihan sebelum pengambilan pekerja oleh syarikat atau agensi.

“Melalui program berkenaan, semua kos latihan akan ditanggung oleh kerajaan bagi meringankan beban veteran dan majikan.

“Yuran latihan di institusi yang diiktiraf kerajaan akan dibiayai sepenuhnya bermula tahun ini, dengan peruntukan sehingga RM6,000 bagi setiap peserta,” katanya.

Tambahnya, kementerian juga memberi tumpuan kepada sektor pertanian melalui program menjana pendapatan dengan kerjasama Boustead Plantation yang menawarkan peluang termasuk gaji sekitar RM3,000 sebulan.

“Boustead Plantation akan menyediakan tapak di setiap negeri kepada semua veteran ATM yang berminat dalam bidang pertanian selepas selepas bersara nanti,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN