Tangani jurang gaji di bandar, luar bandar

Tangani jurang gaji di bandar, luar bandar

AKMAL NASRULLAH MOHD. NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan nekad menangani jurang pendapatan yang semakin melebar dan memperluas peluang pekerjaan bergaji tinggi antara kawasan bandar serta luar bandar menerusi kerangka Ekonomi Madani dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kerajaan terus memperkukuh usaha tersebut melalui RMK13 dengan memberi tumpuan kepada tiga fokus utama Ekonomi Madani iaitu menaikkan siling, memantapkan tadbir urus dan menaikkan lantai.

Menurut beliau, ia menunjukkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem ekonomi yang berdaya saing dan mampan agar penduduk luar bandar tidak tercicir sekali gus merapatkan jurang pendapatan dan memastikan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Bagi merapatkan jurang tersebut, RMK13 memberi penekanan kepada pelonjakan pertumbuhan Industri pertumbuhan tinggi dan nilai tinggi (HGHV) dan sektor strategik berimpak tinggi.

“Pembangunan industri dan sektor ini berupaya menjana pekerjaan berkemahiran tinggi, menawarkan gaji kompetitif, menarik pelaburan berkualiti serta memperluas rantaian bekalan ke wilayah kurang membangun,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong mengenai perancangan jangka panjang kementerian dalam mengekang jurang pendapatan dan pekerjaan bergaji tinggi yang semakin melebar antara bandar dan luar bandar.

Akmal Nasrullah berkata, kerajaan menekankan pendekatan berasaskan data dan bukti melalui penggunaan set indikator sosio ekonomi yang komprehensif bagi menilai impak peruntukan terhadap pembangunan ekonomi luar bandar.

Jelasnya, antara indikator yang menjadi rujukan utama termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mengikut negeri, pelaburan berjaya ditarik masuk ke luar bandar serta perubahan pendapatan isi rumah dan jurang pendapatan antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Kerajaan turut menilai kadar penyertaan tenaga buruh, penciptaan peluang pekerjaan baharu, peningkatan gaji dan upah, serta kadar penglibatan dalam program peningkatan kemahiran, latihan teknikal dan vokasional.

“Gabungan indikator-indikator ini membolehkan kerajaan menilai keberkesanan dasar dan inisiatif pembangunan, termasuk kesannya terhadap pengurangan jurang pembangunan serta peningkatan taraf hidup penduduk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN