PETALING JAYA: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu laporan amang seksual membabitkan seorang murid lelaki berusia 11 tahun di sebuah sekolah rendah agama (SRA) di Wangsa Maju dekat sini.
Siasatan itu dibuat susulan laporan polis diterima pada pukul 4.16 petang Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail berkata, pengadu seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang belajar di sebuah sekolah rendah agama di kawasan berkenaan manakala suspek ialah seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an.
“Setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat dan siasatan masih berjalan.
“Suspek dikenal pasti sebagai seorang guru di sekolah agama berkenaan, namun belum dipanggil untuk dirakam keterangan kerana usaha mengesan masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak Kanak 2017.– UTUSAN










