Dua ditahan di KLIA2 terlibat kematian lelaki maut ditikam

Dua ditahan di KLIA2 terlibat kematian lelaki maut ditikam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua suspek ditahan selepas terlibat dalam kematian seorang lelaki yang maut ditikam dengan kaca dalam kejadian di belakang sebuah restoran di Jalan Peel di sini, semalam.

Penahanan kedua-dua suspek dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) pada 2.30 petang pada hari sama oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan Norhisham Mustapar berkata, satu laporan diterima pihaknya mengenai pertengkaran membabitkan mangsa dan dua lelaki berusia 21 hingga 28 tahun pada 3.20 pagi.

Menurut beliau, dalam pertengkaran itu, suspek dipercayai mengambil serpihan kaca lampu dan menikam leher mangsa sehingga menyebabkan kecederaan parah.

“Suspek membawa mangsa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan namun mangsa disahkan meninggal dunia dan suspek kemudian melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norhisham berkata, suspek ditahan reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 7 Februari ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, satu sindiket pengedaran dadah di Wangsa Maju tumpas selepas tiga lelaki ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Gombak dekat sini.

Kata beliau, dadah dipercayai ganja seberat 18.53 kilogram; pil erimin 5 (2,001 biji) dengan berat 57.06 gram dirampas.

“Polis turut menyita aset suspek membabitkan wang tunai RM277, sebuah kereta Nissan Navara, Ford Ranger dan dua komputer riba dengan nilai keseluruhan rampasan serta sitaan RM206,900,”jelasnya.

Kata beliau, kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga 7 Februari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN