PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memohon bantuan Interpol bagi berhubung dengan aktivis kemanusiaan, Caprice dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, sehingga kini pihaknya belum memperoleh tarikh untuk mengambil keterangan kedua-dua mereka.
Kata beliau, PDRM telah menghubungi Caprice dan Muhammad Nadir melalui e-mel namun gagal mendapatkan maklum balas daripada kedua-dua mereka.
“Sehubungan itu, kita telah mohon bantuan Interpol untuk berhubung dengan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Terdahulu, proses merakam keterangan kedua-dua mereka akan dilakukan secara dalam talian susulan laporan yang dilakukan pendakwah terkenal, Ebit Lew di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Keterangan itu akan dilakukan bagi siasatan mengikut Seksyen 500 serta 504 Kanun Keseksaan selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, pendakwah terkenal, Ebit Lew membuat laporan polis berhubung tuduhan yang dilontarkan beberapa individu terhadap beliau menerusi laman sosial baru-baru ini di IPD Dang Wangi.
Dalam laporan polis itu juga, beberapa nama individu termasuk ketua pegawai eksekutif sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan penyanyi rap, Caprice turut dinyatakan. – UTUSAN ONLINE










