SUHU di Perlis panas mencecah sehingga 35 darjah celsius. Bahang yang dirasai itu sama panas dengan situasi politik di Perlis ketika ini.
Orang Perlis masih tertanya-tanya apa yang berlaku sehingga menyaksikan lapan daripada 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) menyerahkan akuan berkanun (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyatakan penolakan sokongan terhadap Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Penolakan yang menyaksikan Mohd. Shukri hilang sokongan majoriti mudah itu membuka ruang kepada persoalan siapa bakal menggantikan beliau sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu.
Adakah jawatan itu akan kekal menjadi milik Pas yang mempunyai kerusi majoriti di dalam PN Perlis atau calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula bakal mengetuai pentadbiran kerajaan negeri. Pas mempunyai sembilan kerusi manakala Bersatu lima.
Namun situasi sekarang dilihat masih tergantung dengan belum ada sebarang kenyataan daripada Mohd. Shukri atau Pas Pusat. Namun difahamkan Pas Pusat akan mengadakan mesyuarat membincangkan kemelut itu.
Di pihak Bersatu, tiga nama sebagai calon Menteri Besar dikemukakan iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi) dan Megat Hashirat Hassan (Pauh).
Exco kanan kerajaan negeri dari Pas, Muhammad Azmir Azizan merangkap ADUN Santan menjadi antara nama yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar baharu.
Muhammad Azmir dikatakan calon yang mendapat dukungan kuat Pas Pusat selain diketahui umum sebagai antara yang paling rapat dengan Mohd. Shukri.
Selain Muhammad Azmir, tiga ADUN dari Pas yang menantandatangani SD penolakan sokongan tersebut iaitu Mohd. Ridzuan Hashim (Guar Sanji); Saad Seman (Chuping) dan Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) juga antara nama yang dijangka dihantar sebagai calon dari Pas.
Ketiga calon berkenaan mempunyai kedudukan kukuh di dalam parti iaitu Mohd. Ridzuan selain daripada Exco kerajaan negeri turut menjawat jawatan Timbalan Yang Dipertua Pas kawasan Arau serta Ketua Penerangan PN negeri. Saad pula merupakan Timbalan Pesuruhjaya Pas I merangkap Yang Dipertua Pas kawasan Padang Besar manakala Fakrul merupakan Setiausaha Pas negeri.
Jika calon dari Bersatu diangkat, Abu Bakar dilihat antara paling berpontensi berikutan prestasi cemerlang sebagai Exco dan wakil rakyat di kawasannya di Kuala Perlis.
Abu Bakar juga menduduki kedudukan yang kukuh di dalam parti sebagai Pengerusi Bersatu negeri merangkap Timbalan Pengerusi PN Perlis.
Sumber dari PN memberitahu Utusan Malaysia, nama tiga calon dari Pas yang menantandatangani SD penolakan sokongan tersebut dijangka dikemukakan sebagai calon dan mereka adalah yang menjadi pilihan di peringkat perhubungan Pas negeri.
“Muhammad Azmir pula dikatakan mendapat dukungan daripada Pusat dan orang rapat dengan Mohd. Shukri,” kata sumber berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas III, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pelantikan Menteri Besar secara lazimnya, Raja Perlis akan memilih individu yang mendapat sokongan majoriti bagi memegang jawatan tersebut.
“Dalam konteks negeri ini, Pas mempunyai sembilan kerusi di Perlis dan keputusan itu bergantung kepada sokongan tersebut. Bagi saya, isu ini bukan soal jawatan, tetapi bagaimana kita menguruskan dengan baik, secara berhemah dan penuh kebijaksanaan.
“Oleh itu, saya menyeru semua pihak supaya bertenang, tidak membuat kenyataan berlebihan dan memberi ruang kepada kepimpinan pusat untuk membuat keputusan muktamad,” katanya. – UTUSAN










