KANGAR: Kerajaan negeri akan melakukan kajian semula berhubung kewujudan bongkah konkrit tinggalan jeti lama di perairan Sungai Padang di sini yang menjadi punca insiden pelanggaran hingga meragut nyawa anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), kelmarin.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, langkah tersebut akan diteliti memandangkan struktur berkenaan mengakibatkan insiden itu.
Dalam masa sama, beliau turut menasihati semua petugas keselamatan supaya sentiasa berhati-hati ketika menjalankan tugas.
“Mungkin kita akan buat kajian semula mengenai keberadaan (bongkah) itu, namun malang tidak berbau, jadi kemungkinan perkara sebegini boleh berlaku. Justeru apa yang penting, saya sarankan semua agensi penguat kuasa dan petugas supaya lebih berhati-hati dalam melaksanakan tanggungjawab,” katanya ditemui selepas Majlis Peletakan Batu Asas Pembinaan Pelabuhan Sanglang di sini hari ini.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, lima anggota Maritim Malaysia menunjukkan semangat luar biasa ketika berdepan tindakan agresif pendatang asing tanpa izin (PATI) sehingga menyebabkan salah seorang daripada mereka terkorban dan tiga cedera semasa operasi pemantauan dan kawalan sempadan di perairan Kuala Sungai Padang, di sini.
Laskar Kanan Maritim (Teknikal), Mohd. Roshaimi Mohd. Ridzuan meninggal dunia selepas bot dinaiki mereka ketika mengejar PATI terlanggar bongkah konkrit di perairan itu, yang turut menyebabkan tiga anggota tercampak keluar.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, kerajaan negeri akan memperhalusi bentuk bantuan untuk disalurkan kepada keluarga waris anggota Maritim yang terkorban ketika bertugas mempertahan kedaulatan negara.
Katanya, perkara tersebut akan diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada malam ini.
“Kerajaan negeri bersimpati ke atas nasib menimpa anggota Maritim yang terkorban semasa menjalankan tugas mempertahankan keselamatan sempadan negara.
“Kita akan lihat seberapa banyak yang boleh dibantu. Di pihak kerajaan negeri, kita amat bersimpati serta mengharapkan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya,” katanya.-UTUSAN











