Penggantungan keahlian Bersatu tidak jejas kedudukan MB Perlis - Utusan Malaysia

Penggantungan keahlian Bersatu tidak jejas kedudukan MB Perlis

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penggantungan keahlian Abu Bakar Hamzah dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selama dua penggal pemilihan adalah urusan dalaman parti dan tidak memberi kesan kepada kedudukan sebagai Menteri Besar.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Datuk Hamdan Bahari berkata, pelantikan dan pengguguran jawatan Menteri Besar tertakluk kepada kuasa termaktub di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis, bukan ditentukan secara mutlak oleh keputusan parti politik.

Katanya, jawatan Menteri Besar adalah jawatan lantikan Raja Perlis berasaskan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Menteri Besar hanya boleh digugurkan menerusi beberapa cara, antaranya undi tidak percaya di dalam DUN sekiranya hilang sokongan majoriti dan mendapat perkenan Raja Perlis.

“Selagi beliau memegang sokongan majoriti, kedudukannya sebagai Menteri Besar kekal,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, percubaan menukar pentadbiran hanya berlaku jika wujud perubahan rasmi.

“Kalau dilihat senario semasa, kedudukan Abu Bakar masih stabil kerana tidak ada pergerakan atau peralihan sokongan rasmi berlaku, khususnya daripada kem Pas mahupun ADUN lain.

“Proses untuk menukar kepimpinan bukan satu langkah mudah kerana ia turut melibatkan kebergantungan wakil rakyat terhadap kestabilan politik negeri, kewangan dan komitmen terhadap pengundi di kawasan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Hamdan turut menasihati kepimpinan kerajaan negeri agar terus memberi fokus menjaga kebajikan rakyat berbanding melayan kemelut politik memandangkan penggal DUN masih berbaki kira-kira setahun sebelum berakhir pada penghujung 2027.

“Oleh itu, adalah lebih baik semua ADUN sama ada dari blok kerajaan mahupun pembangkang menumpukan usaha membangunkan Perlis dan merancakkan ekonomi negeri berbanding terus berbalah mengenai isu perebutan kuasa dan kedudukan,” katanya.

Pada 3 Jun lalu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah mahu Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah diberikan ruang untuk terus memimpin Perlis sehingga tempoh penggal DUN berakhir.

Ketika merasmikan Penggal Persidangan Keempat DUN Perlis Ke-15, baginda turut mengingatkan semua ADUN bahawa pentadbiran negeri ketika ini adalah kerajaan pilihan baginda, selain bertitah kestabilan politik adalah kriteria penting bagi mengekalkan keyakinan pelabur.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini