Serangan politik tidak goyahkan BN Sabah

Serangan politik tidak goyahkan BN Sabah

AHMAD Zahid Hamidi turut turun padang pada hari penamaan calon PRN Sabah hari ini dengan memberi sokongan kepada dua calon BN, Datuk Yakubah Khan dan Arfanshah Abdul Ghafar di Dewan Maksak Likas, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah tidak goyah meskipun berdepan siri serangan politik yang disifatkannya sebagai ‘peluru’ kepada parti dan kepimpinan negeri, termasuk terhadap Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, serangan yang berlaku sama ada berbentuk fizikal mahupun sebaliknya bukan sesuatu yang baharu, namun ia tidak sesekali mematahkan moral jentera BN. 

Katanya lagi, kekuatan sokongan akar umbi serta gerak kerja jentera yang konsisten terus menjadi faktor utama yang terus mengangkat keyakinan BN menjelang hari pengundian.

“Ya, ini memang berlaku, tetapi kita tidak akan pernah lemah semangat dengan apa saja serangan. Kita yakin kekuatan dokongan itu memberikan semangat kepada pemimpin dan calon UMNO Sabah untuk memenangi kerusi yang ditandingi,” katanya ketika ditemui media selepas pelancaran manifesto BN di sini, hari ini. 

Dalam siri minggu kempen pertama, serangan telah dibuat ke atas Bung Moktar menerusi kenyataan Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali mendakwa beliau menteri paling gagal dalam sejarah peradaban manusia.

Katanya, kegagalan Bung Moktar sebagai bekas Menteri Kerja Raya (KKR) Sabah itu menyebabkan kerajaan GRS kerugian dua tahun memulihkan Sabah

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mengulas prestasi jentera sepanjang minggu pertama kempen, dimana katanya, keyakinan BN tetap tinggi walaupun mengakui lawan politik turut mempunyai kekuatan dan senjata ampuh dalam menghadapi kempen kali ini.

“Kalau boleh, kita nak menang semua. Tetapi realitinya, kita perlu bekerja kuat kerana pihak seteru politik juga mempunyai kekuatan mereka. Namun kita yakin, kali ini gelombangnya akan ke arah biru,” katanya.

Katanya lagi, beliau optimis momentum sokongan rakyat akan kembali kepada BN, sekali gus yakin Sabah ‘dibirukan semula’ berdasarkan rekod pentadbiran lalu.

“Kita mempunyai sejarah panjang ketika Sabah di bawah Barisan Nasional dahulu ia negeri yang sangat maju. Saya fikir jika BN diberikan mandat semula, InsyaAllah kita akan bersama parti-parti lain membangunkan semula negeri Sabah,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN