LONDON: Pengasas bersama Microsoft, Bill Gates memberi amaran bahawa kepesatan pembangunan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi robotik bakal ‘meragut’ jutaan pekerjaan di seluruh dunia, termasuk dalam sektor buruh kasar.
Bilionair itu menegaskan bahawa kedua-dua sektor, iaitu pekerjaan pejabat dan tenaga kerja fizikal kini berdepan ancaman digantikan oleh teknologi pintar tersebut.
Gates menyalahkan struktur insentif syarikat perniagaan yang sentiasa memburu keuntungan berlipat ganda sebagai pemacu utama trend ini.
“Pendekatan mereka kini sangat mudah, ambil robot bekerja, pecat manusia dan jangan pandang ke belakang,” kata Gates.
Sejak beberapa tahun ke belakangan ini, AI sudah mula menjejaskan pelbagai pekerjaan, terutamanya tugas pejabat yang berasaskan analisis data seperti pembangunan perisian, kemasukan data dan perkhidmatan pelanggan.
Minggu lalu, bank gergasi Barclays mengumumkan perancangan untuk menggantikan 5,000 jawatan bersamaan lima peratus daripada keseluruhan tenaga kerjanya di peringkat global dengan sistem AI menjelang akhir tahun ini demi mengurangkan kos operasi.
Pengumuman itu menyusul selepas Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyifatkan AI sebagai tsunami perlahan yang bakal melenyapkan peluang pekerjaan di seluruh dunia.
Beliau turut mengimbau bahawa teknologi berkenaan terutamanya menjejaskan gologan muda yang selama ini menggalas tugas permulaan yang kini boleh dikendalikan AI pada kos yang sangat rendah.
Dalam pada itu, Gates menganggarkan bahawa kerja-kerja fizikal seperti sektor pembinaan dan perkilangan turut terancam berikutan penggunaan robot humanoid yang semakin meluas.
Malah, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa teknologi AI bakal mengatasi kebijaksanaan manusia sebagai entiti paling pintar di muka bumi dalam masa terdekat.
Bercakap kepada akhbar The Observer, Gates menjelaskan bahawa kemahiran mereka cipta, kepakaran kerja pejabat dan dengan kehadiran robot humanoid, kemahiran buruh fizikal manusia semuanya berisiko digantikan oleh AI.
Justeru, beliau mendesak kerajaan di seluruh dunia agar bersedia mendepani krisis pengangguran berskala besar menerusi pelbagai inisiatif latihan semula dan pendidikan berterusan.
Walaupun teknologi berkenaan berkemungkinan membawa kemakmuran ekonomi secara keseluruhan, Gates memberi amaran bahawa pihak kerajaan berkemungkinan menghadapi kekurangan dana bagi menangani kesan sampingan gelombang pengangguran besar-besaran itu. – AGENSI











