KOTA BHARU: Penganjuran program hiburan Wali Semalam di Kelantan yang dijadual berlangsung pada ada 27 Januari depan belum mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri, termasuk bagi penjualan tiket secara dalam talian.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata, sehingga semalam semakan melalui Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Perbendaharaan Negeri Kelantan mendapati tiada permohonan rasmi diterima bagi program berkenaan.
“Pihak berkenaan menegaskan tiada kelulusan diberikan oleh MPKB-BRI selaku pegawai pelesen dan Perbendaharaan Negeri Kelantan bagi penganjuran acara hiburan serta penjualan tiket dalam talian seperti yang diiklankan.
“Bagaimanapun semakan dengan pihak pengurusan Stadium Sultan Muhammad IV mengesahkan terdapat tempahan oleh sebuah syarikat untuk menggunakan stadium itu pada tarikh berkenaan selaras dengan iklan yang tular di media sosial,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hilmi memberitahu, semakan itu dibuat selepas pihaknya menerima beberapa tangkap layar iklan jualan tiket program berkenaan yang tular di media sosial.
Katanya, Seksyen 20 Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Kelantan 2025 melarang penjualan atau tawaran penjualan tiket, termasuk secara elektronik, serta pengiklanan dan promosi sesuatu hiburan melainkan permohonan lesen berkaitan diluluskan.
“Individu yang melanggar peruntukan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“Seksyen 21 enakmen sama menetapkan larangan menjual, mengedar, menawarkan atau mempamerkan tiket hiburan, termasuk secara elektronik, kecuali di tempat atau melalui mekanisme yang ditetapkan oleh pemilik atau pengurus tempat berkenaan atau penganjur hiburan,” ujarnya.
Hilmi berkata, pelanggaran seksyen itu boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“Nasihat saya, semua penganjur hiburan dinasihatkan supaya mengemukakan permohonan mengikut prosedur ditetapkan serta mematuhi segala syarat dan peraturan di bawah enakmen berkenaan bagi mengelakkan implikasi undang-undang,” katanya.-UTUSAN











