Ketelitian Rifasya hasilkan model makanan, organ manusia

Ketelitian Rifasya hasilkan model makanan, organ manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kalau ke restoran atau gerai di dalam pusat membeli belah, biasanya ada yang mempamerkan contoh makanan yang dijual. Sekali pandang ia seakan makanan asli yang menarik selera.

Sebenarnya ia cuma model makanan yang diperbuat daripada tanah liat atau clay. Apa yang menarik, pembuatannya sangat terperinci dari sekecil-kecil objek seperti nasi, sayur-sayuran sehinggalah lauk pauknya seperti ayam, ikan dan sebagainya.

Rifasya Abdul Rashid, 53, adalah seorang daripada pengusaha yang menghasilkan model makanan ini. Berasal dari Teluk Intan, Perak, Rifasya juga menghasilkan model organ manusia seperti jantung untuk kegunaan program kesedaran kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Minat Rifasya dalam bidang kraftangan mula berkembang apabila dia melihat hasil pembuatan model makanan dari negara lain seperti Jepun, China dan Thailand. Negara-negara ini sudah lama menghasilkan model makanan yang menarik dan berkualiti.

“Sekitar 15 tahun yang lalu, penghasilan model makanan masih belum begitu popular di Malaysia, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu.

“Melihat peluang ini, saya mendapat idea untuk menjadikan pembuatan model makanan sebagai satu perniagaan yang mampu menjana pendapatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum serius dalam kraftangan tanah liat, Rifasya pernah berniaga di pasar malam dan bekerja di salon sebelum kehilangan pekerjaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Situasi itu mendorongnya mengembangkan minat dalam kraftangan dengan mempelajari teknik menghasilkan model makanan secara kendiri melalui media sosial, terutama YouTube.

“Selepas menemui hasil karya model makanan, minat saya semakin berkembang. Saya menggunakan masa lapang sepanjang PKP untuk berlatih dan memperbaiki kemahiran sehingga mampu menghasilkan model makanan yang menarik,” katanya.

Rifasya yang sudah berkahwin kemudiannya mendaftarkan dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Cawangan Perak, bagi mengembangkan bakatnya dalam bidang seni kraftangan.

Sukar cari pelanggan

Rifasya mengakui cabaran utama dalam bidang ini ialah pemasaran dan pemilihan bahan, terutama ketika model makanan tanah liat masih kurang dikenali di Malaysia.

Pada peringkat awal, campuran doh yang mengandungi cuka turut menyebabkan iritasi kulit, memaksanya mencuba pelbagai bahan sehingga menemui formula yang sesuai.

Model makanan dihasilkan menggunakan tepung jagung, gam lateks dan bahan tambahan yang mudah didapati, sekali gus membantu mengawal kos pembuatan.

Bagi pewarnaan, Rifasya menggunakan cat akrilik yang cepat kering atau cat minyak yang menghasilkan warna lebih cantik tetapi mengambil masa lebih lama untuk kering.

Rifasya turut menghasilkan model organ manusia seperti jantung dan paru-paru untuk tujuan pendidikan dan pameran.

Penghasilan model organ ini agak mencabar kerana perlu memahami bentuk dan anatomi organ manusia yang tidak pernah dilihatnya.

Keunikan Produk dan kualiti

Keistimewaan kraftangan Rifasya terletak pada ketelitian menghasilkan model makanan yang menyerupai makanan sebenar mengikut kehendak pelanggan, termasuk bentuk, warna, saiz hidangan dan jenis pinggan.

“Pelanggan biasanya memberikan gambar menu sebagai rujukan. Saya perlu memastikan setiap perincian, termasuk bentuk nasi dan susunan lauk, menyerupai hidangan sebenar. Model pinggan sihat pula memerlukan pembahagian hidangan yang tepat mengikut konsep pemakanan sihat,” katanya.

Katanya, bahagian sayur-sayuran dan buah-buahan juga perlu kelihatan lebih banyak berbanding nasi mengikut konsep pinggan sihat yang dirujuk.

Bagi makanan berkuah seperti laksa, kos penghasilan mungkin lebih tinggi kerana penggunaan resin diperlukan untuk menghasilkan kesan air atau kuah yang kelihatan realistik.

Harga model ditentukan berdasarkan jenis makanan, tahap kerumitan, masa dan bahan digunakan. Model nasi lemak di atas daun pisang berharga sekitar RM200, manakala model organ seperti jantung boleh mencecah RM150.

Bagi memastikan kepuasan pelanggan, Rifasya akan menghantar gambar model siap untuk persetujuan dan membuat perubahan jika perlu sebelum pembayaran serta penghantaran dilakukan.

Strategi Perniagaan

Bagi meningkatkan jualan, Rifasya aktif mempromosikan hasil kraftangannya melalui media sosial dan mengedarkan risalah ke pelbagai tempat seperti kedai makan, pusat beli-belah, jabatan kerajaan dan acara berkaitan makanan.

Rifasya kerap menyertai festival kraftangan dan pameran untuk memperkenalkan hasil karyanya. Model makanan turut digunakan peniaga bagi mempromosikan menu tanpa menyediakan makanan sebenar.

Antara pelanggan utamanya ialah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang menempah model piramid makanan dan pinggan sihat untuk program serta pameran kerana boleh digunakan berulang kali, sekali gus menjimatkan kos.

Usaha pemasaran berterusan membolehkannya menerima tempahan dari seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak. Namun, jumlah pengeluaran dan pendapatan bergantung pada jenis serta bilangan tempahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini