Redah 10,000km naik RXZ ke Everest Base Camp

Pemuda Terengganu, redah 10,000km naik RXZ ke Everest Base Camp

MOHD. Firdaus Abdul Wahab bersama Kelab Pengembaraan MS88 mencipta sejarah tersendiri apabila menunggang motosikal Yamaha RXZ hingga ke Everest Base Camp, Tibet.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pemuda dari Terengganu menyertai 15 penunggang motosikal Yamaha RXZ mencipta pengalaman luar biasa apabila menunggang motosikal legenda dua lejang itu hingga ke Everest Base Camp, Tibet, dalam ekspedisi sejauh lebih 10,000 kilometer (km).

Ekspedisi anjuran Kelab Pengembaraan MS88 itu bermula dari Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 5 Oktober lalu, dengan perjalanan merentasi Thailand, Laos dan Tibet sebelum kumpulan berkenaan dijangka menamatkan misi pergi dan balik selama 33 hari.

Daripada 16 peserta, 13 berasal dari Kedah, manakala masing-masing seorang mewakili Terengganu, Johor dan Pulau Pinang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Peserta dari Terengganu, Mohd. Firdaus Abdul Wahab, 34, berkata, pengalaman menempuh perjalanan merentas pelbagai bentuk muka bumi dalam cuaca ekstrem menjadi kenangan berharga yang sukar dilupakan.

Pemilik bengkel motosikal dari Kampung Merchang, Marang itu berkata, suhu mencecah minus 18 darjah Celsius antara cabaran yang menguji ketahanan mental dan fizikal peserta.

“Persediaan mental dan fizikal sangat penting kerana kami terpaksa berdepan cuaca sejuk melampau sepanjang perjalanan.

“Cuaca sejuk turut memberi cabaran kepada motosikal, namun tiada motosikal peserta mengalami kerosakan serius sepanjang ekspedisi ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Firdaus dijangka tiba di Terengganu pada 12 November ini selepas meneruskan perjalanan pulang yang mengambil masa kira-kira 12 hari.

Katanya, perjalanan pulang turut terganggu akibat gempa bumi di China, kelmarin, sehingga kumpulan itu terpaksa mengubah haluan.

Sementara itu, wakil kelab, Mohamad Mujahid Mohd. Pisal, 35, berkata, ekspedisi itu bertujuan membuktikan keupayaan Yamaha RXZ menempuh laluan ekstrem yang lazimnya diterokai menggunakan motosikal berkuasa besar.

Menurutnya, perubahan cuaca mendadak dan laluan bersalji antara cabaran utama sepanjang perjalanan.

Pada 2024, kelab itu pernah menjelajah beberapa negara ASEAN termasuk Thailand, Kemboja, Laos dan Vietnam menggunakan Yamaha RXZ. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini