PETALING JAYA: Pencarian pelapis kepada jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli perlu dimulakan segera bagi memastikan Malaysia tidak ketandusan atlet berkaliber dalam acara itu pada masa depan.
Jurulatih lontar peluru para negara, Mohd Faizul Harun berkata, usia Ziyad yang kini mencecah 36 tahun perlu diambil kira dalam merancang kesinambungan prestasi negara, terutama apabila atlet muda mula menunjukkan kemampuan untuk mencabar dominasi sedia ada.
Katanya, kejayaan atlet Arab Saudi, Bader Ali meraih pingat emas dengan lontaran sejauh 17.08 meter (m) pada Sukan Para Asia Aichi-Ngoya 2026 menjadi peringatan bahawa Malaysia perlu bersedia menghadapi perubahan generasi dalam acara berkenaan.
“Dari awal lagi sampai sekarang, kita sepatutnya sudah menerima kenyataan bahawa Ziyad semakin berusia. Atlet Arab Saudi itu baru berusia 21 tahun, sedangkan Ziyad sudah 36 tahun,” katanya.
Dalam saingan itu, Zolkefli Muhammad menamatkan pertandingan di tempat kedua dengan lontaran 16.61m untuk meraih perak, ketinggalan 0.47 meter di belakang Bader.
Seorang lagi wakil negara, Mohamad Awi Aliff, menduduki tempat ketiga dengan catatan 14.45m untuk membawa pulang gangsa, manakala Abdullah Muhammad mencatat 13.12m di tempat keempat.
Keputusan itu memperlihatkan Malaysia masih mempunyai kekuatan untuk bersaing menerusi dua atlet yang berjaya menaiki podium.
Namun, keperluan membangunkan pelapis tidak boleh diketepikan bagi memastikan prestasi negara kekal kompetitif apabila Ziyad semakin menghampiri penghujung kariernya.
Faizul berkata, pihaknya akan menilai langkah seterusnya bagi memperkukuh persediaan atlet negara, termasuk merancang program yang sesuai untuk menghadapi cabaran akan datang.
“Saya rasa selepas ini kita mungkin akan buat sesuatu dan tengok bagaimana. Kita akan membuat persiapan untuk Kejohanan Dunia akan datang, insya-Allah,” katanya.
Selepas ini, Ziyad akan melakukan persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan dunia di Tashkent, Uzbekistan pada 19 hingga 17 Jun 2027. – UTUSAN











