Sepanjang lima musim penganjurannya, The Knights Award sudah mengiktiraf lebih 200 individu bagi pencapaian dan sumbangan mereka dalam pelbagai bidang.
Bahkan, anugerah berprestij ini turut membina rangkaian antarabangsa yang menghimpunkan peserta dari lebih 65 negara.
Antaranya dari Singapura, Mauritius, New Zealand, Mexico, Kosovo, Algeria, Jordan, Namibia, Afrika Selatan, Zambia, Jerman, Nigeria, Uganda, Afghanistan, Jepun dan Bangladesh.
Presidennya, Dr. Zyro Wong berkata, platform berkenaan bukan sahaja bertujuan memberikan pengiktirafan, malah berperanan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai titik pertemuan kecemerlangan global.

“Daripada sebuah inisiatif Malaysia, kini ia berkembang menjadi platform antarabangsa yang menghubungkan usahawan, pemimpin korporat, ikon kreatif, inovator dan pencetus perubahan dari seluruh dunia,” katanya ketika majlis penyampaian anugerah baru-baru ini.
Yang hadir sama, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Antara penerima anugerah utama kali ini ialah penyanyi kelahiran Indonesia, Judika; penyanyi dan penulis lagu Mandopop Malaysia, Firdhaus; pelakon, Zul Ariffin; usahawan dan aktivis sosial, Datin Seri Nurulhidayah Ahmad Zahid; pengarah dan penerbit terkenal China, Zhang Jizhong; penerbit Hong Kong, David Chiang; serta pelakon dan penyanyi Hong Kong, Linda Chung.
Turut menerima anugerah ialah Lyanna Kea, Jack Lim, Zung Ninja dan Edison Ang, selain Virginia Lok dan Hubert Wu dari Hong Kong.
Bagi kategori korporat, akhbar Utusan Malaysia dinobatkan sebagai Media Berita Bahasa Melayu Terbaik.
Anugerah itu diterima oleh Pemangku Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Aznan Bakar, sekali gus menjadi satu lagi pencapaian bermakna buat akhbar itu dalam meneruskan legasi kewartawanan bahasa Melayu.

Penerima lain termasuk AEC Evening Edition, NCT Group, Restoran Village Park dan Target Media.
Mahu suri rumah diiktiraf sebagai kerjaya
Mengulas kemenangannya, Nurulhidayah berharap dapat membawa lebih banyak inisiatif yang menghubungkan dunia perniagaan dengan pembangunan komuniti.
Penerima Tokoh Wanita Tersohor dalam Kepimpinan Awam dan Komuniti ini berkata, kedua-dua bidang itu tidak sepatutnya bergerak secara berasingan, sebaliknya saling melengkapi dalam usaha membawa perubahan kepada masyarakat.
Antara fokusnya adalah memperjuangkan nasib wanita yang berdepan penindasan, khususnya mangsa keganasan rumah tangga, selain memastikan usaha pemerkasaan wanita dapat diterjemahkan kepada tindakan yang memberi kesan nyata.
“Memperkasakan wanita bukan sekadar meraikan mereka yang sudah berjaya, tetapi turut menghulurkan tangan kepada mereka yang sedang berjuang untuk bangkit semula.
“Saya tidak mahu hanya bercakap tentang pemerkasaan wanita di atas pentas, sebaliknya usaha ini perlu diterjemahkan kepada tindakan yang benar-benar membawa perubahan dalam kehidupan,” katanya.
Nurulhidayah berkata, sudah tiba masanya peranan suri rumah diiktiraf sebagai satu kerjaya kerana turut menyumbang kepada pembangunan keluarga dan negara.











