Anak muda masuk industri kena banyak membaca - Rahim Razali - Utusan Malaysia

Anak muda masuk industri kena banyak membaca – Rahim Razali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Ini perkara serius, bukan olok-olok,”

Demikian tegas seniman, Datuk Rahim Razali, selepas melihat industri seni kini dipenuhi dengan wajah-wajah baharu khususnya dalam bidang lakonan. Mengakui sering mendapat mesej daripada pelapis baharu yang mahu bertemu dan berkongsi ilmu, namun atas faktor kesihatan, Rahim, 87, terpaksa menolak pelawaan itu.

Berkesempatan bertemu figura hebat yang dinobatkan sebagai Tokoh Seri Angkasa 2026, Rahim menitipkan pesanan agar anak muda hari ini dapat berlaku jujur dan minat dengan apa sahaja bidang diceburi selain menambah pengetahuan dengan rajin membaca.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Baguslah ramai anak muda kini masuk dalam industri lakonan dan buat filem, nasihat saya biar jujur dengan diri sendiri dan minat dalam setiap diceburi. Jangan main-main, sebaliknya kena serius.

“Maknanya, kena buat banyak pembacaan, membaca untuk tambah pengetahuan selain pengalaman. Perkara itu penting untuk buat kita lebih fasih dengan selok-belok penceritaan dan karakter. Semua itu kita kena belajar sendiri. Tak ada sekolah yang mengajar itu semua, kita kena timbulkan minat dan belajar sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Lagi tiga tahun bakal mencecah usia 9 dekad, Rahim mengakui sampai sekarang masih menerima tawaran berlakon namun kudratnya sudah tidak lagi seperti dahulu. Kini, dia tidak lagi boleh bertahan lama di set penggambaran. 

“Penggambaran sehari, dua bolehlah. Tapi jika lebih daripada itu saya sudah tidak larat usia pun sudah lanjut, tiga tahun lagi genap 90 tahun, Insya-Allah kalau Tuhan sambungkan nyawa saya, jika tidak, begitulah.

“Saya kena jujur dengan diri saya sendiri. Kalau tak mampu melakukannya, saya akan jujur dengan mereka. Saya tak boleh terima.

“Hafalan tu Alhamdulillah masih boleh lagi, tapi sudah kurang tak macam muda-muda dulu. Sepuluh muka surat pun tiada masalah. Sekarang ini lima baris pun dah susah,” ceritanya.

Penghargaan Rahim Razali sebagai Tokoh Seri Angkasa 2026, melayakkannya membawa pulang wang tunai RM10,000, sebuah kereta elektrik proton e.Mas bernilai RM150,000, wang tunai bernilai RM8,000 tajaan CIMB, pakej percutian serta trofi.

“Ini satu kejutan, saya tidak tahu akan terima sebuah kereta walaupun saya sendiri sudah tidak dibenarkan memandu, saya gembira. Biarlah anak-anak yang bawa, mungkin senang sebab kereta elektrik.

“Saya sangat terharu, inilah satu-satunya anugerah yang saya sanjung dan hormati khususnya dalam dunia penyiaran. Besar maknanya pada saya.

“Dunia penyiaran ini tak banyak sangat anugerah, oleh itu bila diumumkan saya akan menerima anugerah ini pada hari ini, saya sangat berterima kasih dan bersyukur Anugerah Tokoh Seri Angkasa ini diberikan kepada saya,” katanya.

Rahim Razali memulakan kerjayanya seninya sebagai  pengulas sukan di RTM pada lewat tahun 1950-an. Suara emasnya yang dinamik dan penuh karisma menjadikannya ulasan bola sepakpada era 1970-an dan 1980-an sangat ikonik dan sukar ditandingi.

Dia kemudian mengembangkan sayap dalam dunia lakonan televisyen dan filem, bermula dengan naskhah seperti filem Dayang Suhana (1978) sebelum membuktikan keupayaannya yang luar biasa sebagai pengarah, penulis skrip, dan penerbit.

Karya-karya hebatnya seperti Abang (1981), Matinya Seorang Patriot (1984), dan Tsu Feh Sofiah (1986) bukan sahaja mendapat pujian pengkritik malah menyapu bersih pelbagai trofi utama di Festival Filem Malaysia (FFM), termasuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik, dan Skrip Terbaik.

Walaupun usianya kini mencecah 87 tahun, Rahim masih dilihat aktif mewarnai industri perfileman dengan deretan naskhah pecah panggung seperti Puteri Gunung Ledang, Munafik, Munafik 2, dan Mat Kilau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini