Usia bukan penghalang Ella adakan empat konsert satu tahun - Utusan Malaysia

Usia bukan penghalang Ella adakan empat konsert satu tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETAKAT ini tiada mana-mana penyanyi tempatan yang berjaya menandingi pencapaian Ratu Rock Negara, Ella yang setakat ini, berjaya melunaskan tiga konsert dalam setahun.

Tahun ini, Ella atau Ella Aminuddin mengotakan janji dengan membuka tirai 2026 menerusi persembahan berskala mega iaitu konsert Majlis Tertinggi Rockqueen di Stadium Nasional TM dengan kehadiran 55,000 penonton.

Tanpa berehat panjang, Ella melunaskan pula impian peminat di Singapura dengan mengadakan konsert di The Star Theatre sebelum menganjurkan Majlis Tertinggi Rockqueen: Homecoming Edisi 60 Permata Biru di Pulau Pinang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tiga konsert dalam satu tahun. Namun perjalanan tersebut tidak terhenti apabila Ella, buat terakhir kali pada tahun ini, bakal menutup tirai pada 5 Disember ini dengan Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup di Unifi Arena Bukit Jalil sebelum berehat panjang pada tahun hadapan.

Empat konsert tersebut membuktikan kesungguhan penyanyi yang terkenal dengan suara serak-serak basah itu melunaskan keinginan peminat yang tidak mahu ketinggalan dalam mengikuti perjalanan kariernya.

Namun, sebagai manusia biasa, Ella juga perlu masa masa bertenang, berehat daripada jadual kerja dan persembahan padat. Katanya, bukan mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni suara, tetapi berehat seketika untuk memberi ruang kepada kehidupan yang lebih bermakna.

“Sebelum membuat keputusan (berehat) saya berbincang terlebih dahulu dengan pasukan saya. Ia bukanlah keinginan saya seorang.

“Berilan saya masa untuk berehat kerana ada perkara lain yang saya rancang untuk laksanakan. Mungkin ada persembahan korporat yang masih perlu dilunaskan, tapi selebihnya masa untuk saya dan keluarga.

“Dan pada masa yang sama saya juga ingin mengusahakan pertanian sawit yang sejak enam tahun lepas sudah digerakkan. Doakan saya agar pertanian ini berhasil,” katanya dalam sisang media baru-baru ini.

Mengadakan empat konsert dalam masa setahun bukan pencapaian biasa kerana memerlukan komitmen dan kesungguhan penyanyinya itu sendiri.

Ella tidak menolak tindakannya menjaga kesihatan, bersenam setiap hari selain pemakanan yang betul menyumbang kepada stamina yang pada tahap tertinggi.

“Kerjaya dan kecergasan adalah perkara yang bergerak seiring. Selain mencintai nyanyian, saya juga gemar bersenam dan menggunakan khidmat pelatih kecergasan untuk memastikan stamina saya berada di tahap sebaiknya.

“Sebab itu, pada usia 60 tahun, saya masih boleh menyanyi, membuat persembahan, beraksi tanpa penat selama lebih dua jam di atas pentas,” ujarnya.

Dalam pada itu empat konsert dalam satu tahun merupakan kepuasan bagi Ella dan bukan dibuat untuk mencatat sebarang rekod dan pengiktirafan.

“Saya buat demi peminat, demi kelangsungan kerjaya dan demi kecintaan kepada dunia nyanyian. Setiap tahun saya menyimpan matlamat tertentu dan tahun ini mengadakan empat konsert. Insya-Allah, doakan saya,” ujarnya.

Pemilihan Datuk Ziana Zain dan Yuna untuk sepentas dengan Ratu Rock Negara dalam konsert terakhir beliau tahun ini sememangnya perkara yang lama diimpikan oleh Ella sendiri.

Bagi beliau, keduanya mempunyai kekuatan dan karisma tersendiri lebih-lebih lagi apabila membawa lagu-lagu hits yang pernah menjadi siulan pendengar.

“Saya mahukan kelainan, tidaklah mahu menyajikan perkara yang sama setiap kali mengadakan persembahan. Pemilihan Ziana adalah atas dasar setia kawan dan keserasian. Beliau seorang sahabat.

“Begitu juga dengan Yuna yang hubungan kami tidak sekadar sahabat biasa, malah kami tinggal di kawasan berdekatan.

“Saya mengagumi bakat mereka, minat cara nyanyian dan muzik mereka. Kini sudah masanya saya tampilkan kedua-dua figura ini atas pentas Majlis Tertinggi Rock Queen: Sidang penutup nanti,” katanya.

Dalam masa yang sama Ella masih merahsiakan beberapa nama yang turut diundang dalam konsert berkenaan dan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini