Sentimen bukan penyelesaian, rundingan bawa hasil

Sentimen bukan penyelesaian, rundingan bawa hasil

PHOONG Jin Zhe (kanan) ketika kempen di Kota Kinabalu, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Cabaran terbesar dalam perjuangan menuntut hak negeri ketika ini bukan sekadar soal pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tetapi sentimen anti-Persekutuan yang sengaja dicetuskan ahli politik.

Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, sentimen itu telah menjadi cabaran kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sehingga ko­nonnya mendakwa kerajaan Pusat dilihat sebagai pihak menghalang kemajuan negeri ini.

Beliau berkata, DAP Sabah secara konsisten menyokong hak-hak Sabah seperti pemberian khas 40 peratus dan pelaksanaan penuh MA63, namun menolak sebarang pendekatan yang bersifat konfrontasi terhadap kerajaan Persekutuan.

“Saya dan DAP menyokong penuh hak Sabah untuk mendapatkan kembali apa yang termaktub dalam MA63, termasuk hasil 40 peratus. Tetapi apa yang kita lihat sekarang semakin membimbangkan wujud satu sentimen benci kerajaan Persekutuan.

“Ini cabaran yang dihadapi Sabah. Jika kita benar-benar mahu hak Sabah direalisasikan, pendekatannya mestilah bijaksana dan bertanggungjawab. Sentimen tidak membawa hasil, tetapi meja rundingan membawa penyelesaian,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jin Zhe berkata, pendekatan konfrontasi hanya akan me­rencatkan usaha mendapatkan hak Sabah kerana rundingan memerlukan kerjasama kedua-dua pihak.

Katanya, hasil keserasian dan hubungan diplomatik antara Sarawak dan Putrajaya membolehkan tuntutan mereka dipenuhi secara berperingkat melalui meja rundingan, bukan tekanan politik atau retorik sentimen.

“Sarawak menjadi contoh terbaik. Mereka tidak pernah bersikap demikian. Dari zaman Barisan Nasional, kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga kini kerajaan Madani, mereka berkawan dengan kerajaan Persekutuan, bukannya bermusuhan,” katanya.

Kata Jin Zhe, kerjasama erat antara Pusat dan Sabah di bawah pentadbiran Madani telah membolehkan negeri ini mencapai pelbagai kemajuan dan limpahan pembangunan sehingga merekodkan angka pelaburan di bawah kerajaan sebelum ini.

Beliau menyeru semua parti politik di Sabah untuk mengetepikan retorik anti-Persekutuan dan kembali kepada pendekatan konstruktif demi manfaat rakyat serta masa depan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN