KUALA LUMPUR : Pengukuhan integriti, tatakelola dan pembanterasan rasuah dalam kalangan anggota polis diberikan tumpuan menerusi Pelan Strategi Pembanterasan Rasuah Polis Diraja Malaysia (OACS) yang sedang giat dibangunkan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, inisiatif berpandukan kepada Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) itu merupakan indikator terbaik bagi mengekang dan menjauhkan sebarang bentuk salah laku serta pelanggaran etika perkhidmatan dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, tanggungjawab memelihara integriti dan imej pasukan tidak terletak sepenuhnya di bahu Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak khususnya pegawai penyelia.
“Saya menyeru, agar semua jabatan dan formasi dapat bersama-sama berganding bahu, memainkan peranan secara proaktif bagi memastikan Strategi Pembanterasan Rasuah PDRM dapat dilaksanakan dengan berkesan dalam menangani kegiatan rasuah.
“Saya berharap agar barisan kepimpinan pasukan, terus memperkukuh penyeliaan melalui close monitoring pematuhan kepada Arahan Ketua Polis Negara No.191 berkaitan Total Enforcement ke atas Peraturan 3C : Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib 1993) sebagai asas mencegah salah laku, serta menambah baik persepsi masyarakat seluruhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara anjuran JIPS di Bukit Aman di sini hari ini.
Mohd. Khalid berkata, PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam salah laku.
Jelasnya, fokus utama beliau adalah memartabatkan PDRM sebagai sebuah organisasi yang profesional dan disegani dalam memberikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Saya yakin, selain inisiatif pemantapan dan pembudayaan integriti, program-program kerohanian dan sahsiah yang dianjurkan oleh JIPS juga berupaya mengukuhkan agenda kesejahteraan serta pemantapan budaya kerja sihat dalam kalangan warga pasukan,” jelasnya. – UTUSAN










