SPRM terap elemen anti rasuah di prasekolah 

SPRM terap elemen anti rasuah di prasekolah 

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperhebat pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) dengan memperkenalkan elemen antirasuah di peringkat prasekolah bagi membentuk generasi yang membenci amalan rasuah sejak kecil.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, golongan muda merupakan aset penting negara yang perlu dibimbing untuk membina masyarakat bebas rasuah, sejajar dengan visi agensi itu dalam melahirkan masyarakat bebas rasuah. 

Menurutnya, pendekatan SPRM kini diperluaskan daripada prasekolah sekolah rendah dan menengah, hingga ke universiti dengan pelbagai program berbentuk pendidikan, modul integriti, aktiviti kesukarelawanan serta kempen kesedaran.

Jelas beliau, pihaknya kini mengadakan perbincangan dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Utara Malaysia (UUM) berhubung perkara itu.

“Di peringkat prasekolah, SPRM sedang membangunkan bahan pembelajaran berbentuk komik dan digital yang lebih mudah difahami agar kanak-kanak mula melihat rasuah sebagai satu perbuatan tidak bermoral. 

“Pengalaman kami menunjukkan kanak-kanak lebih mudah memahami mesej melalui aktiviti, bukan sekadar membaca buku malah kita wujudkan wira anti rasuah sebagai maskot untuk menarik minat mereka.

“Apabila budaya benci rasuah ditanam sejak kecil, ia akan berterusan apabila mereka melangkah ke sekolah menengah dan seterusnya,” katanya kepada pemberita dalam sesi khas bersama media di Ibu pejabat SPRM di sini hari ini. 

Beliau berkata, pendekatan berbentuk aktiviti dan hiburan mendidik ini akan membantu membentuk pemikiran kanak-kanak bahawa rasuah adalah sesuatu yang salah, tidak bertamadun dan mesti ditolak.

Jelasnya, beliau tidak melihat program pendidikan elemen antirasuah di peringkat sekolah menjadi satu masalah yang besar kerana isu utama adalah apabila pelajar terbabit mula meninggalkan alam persekolahan.

“Kami pernah melakukan satu tinjauan pada 2003 di sebuah universiti membabitkan mahasiswa sebagai responden dan agak mengejutkan apabila 30 peratus daripadanya mengatakan sanggup mengambil rasuah jika diberi peluang.

“Cabaran besar membabitkan bermula apabila pelajar melanjutkan pelajaran ke universiti, di mana mereka terdedah tanpa pemantauan.

“Ini satu perkara yang amat mengejutkan pengurusan tertinggi SPRM ketika itu, kalau ramai mahasiswa berfikiran seperti ini, ia satu perkara yang membahayakan kerana mereka ini adalah bakal pemimpin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN