KUALA LUMPUR: Jumlah kelas prasekolah meningkat dengan drastik sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran negara pada penghujung 2022.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, hanya 75 kelas dibuka pada 2022.
Katanya, angka itu meningkat kepada 119 kelas pada 2023 diikuti 135 (2024), 161 (2025) dan melonjak kepada 325 tahun ini.
“Pada tahun depan, kita menyasarkan pembukaan 300 lagi kelas prasekolah untuk memberi lebih akses.
“Jumlahnya dalam lima tahun ini disasarkan yang telah dibuka dan dijangka dibuka adalah pada angka 1,040 kelas,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) berkenaan jumlah kanak-kanak yang gagal mendapat tempat di prasekolah Kementerian Pendidikan (KPM).
Kah Woh berkata, kemasukan ke prasekolah KPM dibuat berdasarkan kriteria ditetapkan dengan memberi keutamaan kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah, khususnya B40.
Beliau berkata, KPM terus memperluaskan akses pendidikan awal kanak-kanak melalui kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan agensi kerajaan lain bagi menambah kapasiti prasekolah di seluruh negara.
“Usaha ini akan diteruskan bukan sahaja melalui KPM sebagai penyedia utama pendidikan prasekolah, malah dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan,” katanya. – UTUSAN










