KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Albert Tei sedia menghadapi saman difailkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Beliau mengalu-alukan tindakan tersebut selain berhasrat menggunakan ruang mahkamah untuk mendedahkan pelbagai perkara yang didakwanya berkaitan isu rasuah di Sabah.
Bagaimanapun katanya, tiada sebarang dokumen saman diterima sehingga kini, walaupun dimaklumkan tindakan undang-undang terhadapnya telah difailkan minggu lalu.
“Saya menunggu ni. Seminggu dah. Mana saman itu? Jangan salah hantar alamat ataupun, jangan kata dalam proses hantar tu hilang.
“Di mana saman mahu hantar itu? Sebab saya mahu telanjangkan dia (Azam) di mahkamah. Saya mahu telanjangkan isu Sabah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri prosiding rasuah di lobi Mahkamah Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Albert juga mempersoalkan tindakan beberapa kali sekatan tanpa notis terhadap beberapa akaun media sosial miliknya.
Penjelasan itu dituntut Albert dengan hadir ke pejabat Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada Jumaat lalu.
“Saya ingin menuntut satu penjelasan. Apa kesalahan saya? Kenapa sekat akaun TikTok saya tanpa notis, tanpa amaran?
“Jika saya buat salah, sebarang kenyataan yang saya keluarkan dalam bentuk fitnah ke, berbaur hasutan ke, sila siasat saya dan tangkap saya. Tuduh saya ke mahkamah,” katanya. – UTUSAN









