KOTA KINABALU: Melaksanakan hak Sabah termasuk pemulangan 40 peratus hasil pendapatan dan had tempoh jawatan Ketua Menteri merupakan antara tawaran manifesto Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
BN jika diberi mandat rakyat Sabah juga menjanjikan pendidikan tinggi percuma kepada pelajar Sabah golongan B40 di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan milik kerajaan negeri Sabah.
Dalam pada itu, BN menawarkan pemberian insentif sebanyak RM2,000-RM2,500 kepada anak Sabah melanjutkan pendidikan ke IPT awam dan swasta bagi peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.
Perkara itu terkandung dalam tawaran manifesto BN Rancangan Pembangunan Sabah Satu yang mengandungi enam kerangka merangkumi kesejahteraan ekonomi rakyat, wanita dan orang muda, pendidikan, transformasi politik, negeri kebajikan dan kelestarian sumber.
Bendahari BN Sabah, Datuk Seri Mohd. Salleh Said Keruak berkata, di bawah kerangka hak Sabah, BN menjanjikan penubuhan Jawatankuasa Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memantau dan mengawasi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk berkaitan hak autonomi Sabah.
“Melaksanakan keputusan mahkamah berkaitan pemulangan 40 peratus hasil pendapatan dari Sabah (Perlembagaan Persekutuan Perkara 112C dan 112D).
“Menuntut pelantikan wakil Sabah dalam setiap syarikat berkaitan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam Majlis Pelancaran Manifesto BN Rancangan Pembangunan Sabah Satu di sini hari ini.
Mohd. Salleh berkata, BN berjanji melaksanakan semakan kepada 35 peratus jumlah kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.
“Reformasi undang-undang bagi memastikan Sabah memiliki kepentingan pemilikan dan menikmati hasil secara adil dalam semua operasi pengeluaran, pengurusan perniagaan hiliran berkaitan sumber asli dan mineral negeri.
“Cadangan menambah enam ADUN Lantikan mewakili golongan minoriti dan menghadkan tempoh maksimum dua penggal untuk jawatan Ketua Menteri,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Salleh berkata, BN menawarkan Pembinaan Rumah SabahKu sebagak kediaman mampu milik pertama untuk golongan B40 dan M40 sebanyak 15,000 buah setahun.
“Demi masa depan anak Sabah, BN menjanjikan Skim Bantuan Belian Makanan Tunai RM100 setiap bulan untuk B40 dan Amanah Saham Anak Sabah (ANAS) RM1,000 untuk anak Sabah yang lahir dari 1 Januari 2026,” katanya.
Katanya, BN mencadangkan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu bagi meningkatkan kapasitı di samping pembukaan pelabuhan baharu Kudat dengan mewujudkan kawasan Zon Perdagangan Bebas bagi memperkukuhkan Sabah sebagai Hab Ekonomi Serantau.
“Menstruktur semula pentadbiran wilayah atau daerah dengan pembahagian kepada enam wilayah ekonomi baharu Sabah dan daerah-daerah berasaskan sosio ekonomi serta potensi industri setempat,” katanya.-UTUSAN










