TAWAU: Calon Parti Warisan (WARISAN) yang bertanding atas tiket parti itu dan kemudian melompat parti selepas memenangi pilihan raya, bakal berdepan tindakan tegas termasuk gugur kerusi dan denda sehingga RM10 juta.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, langkah itu digerakkan bagi membendung budaya politik tidak berprinsip yang sering menggugat kestabilan pentadbiran negeri dan mengkhianati mandat rakyat.
“Budaya melompat ini menjadi pengkhianatan kepada rakyat dan kita tidak boleh biarkan keadaan ini terus berlaku kerana ia memberi kesan besar kepada mandat yang sudah diberi oleh pengundi.
“Sebab itu WARISAN memperkukuhkan perlembagaan parti dan mana-mana wakil rakyat yang dipilih atas tiket WARISAN tetapi meninggalkan parti, gugur bukan saja keahliannya, malah gugur juga kerusi yang dimenangi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Slogan dan Logo Baharu WARISAN sempena PRN Ke-17, di sini, hari ini.
Sebagai langkah pencegahan tambahan, Mohd. Shafie berkata semua calon WARISAN diwajibkan menandatangani kontrak perjanjian (bonding) dengan nilai bon RM10 juta sebelum bertanding.
Katanya, perjanjian itu bertujuan memastikan setiap calon kekal setia dengan perjuangan parti selepas menang pilihan raya.
“Kita sudah putuskan, calon yang bertanding atas logo WARISAN wajib menandatangani perjanjian dengan nilai bon RM10 juta. Ia sebagai ikatan supaya mereka tidak sesuka hati meninggalkan parti selepas dipilih rakyat.
“Kita gunakan sumber parti, tenaga jentera dan perbelanjaan besar dalam pilihan raya. Jadi tidak adil sekiranya selepas menang, mereka melompat untuk kepentingan peribadi,” katanya.
Mengulas lanjut, Shafie menegaskan WARISAN tidak menolak mana-mana bekas wakil rakyat yang mahu kembali menyertai parti, namun pendekatan mereka kali ini lebih berhati-hati dengan memberi ruang hanya sebagai ahli biasa.
“Kalau mereka insaf dan mahu kembali menyokong perjuangan WARISAN, kita alu-alukan. Tetapi untuk jadi calon semula, kita tidak akan benarkan.
“Yang lebih penting ialah mengangkat calon baharu yang mampu memperkukuhkan parti dan memastikan kuasa rakyat dikembalikan kepada rakyat, bukan kepada individu yang hanya mengejar jawatan,” katanya.
Shafie turut menegaskan bahawa pengenalan slogan dan logo baharu WARISAN kali ini adalah sebahagian daripada usaha memperkukuhkan gerakan politik parti berdepan PRN.
“Logo ini simbolik kepada kesatuan. Warna putih melambangkan keikhlasan, merah melambangkan semangat juang, manakala biru membawa maksud kecekapan dalam mentadbir.
“Kita mahu rakyat Sabah jelas bahawa WARISAN membawa ikatan perjuangan untuk membela nasib mereka dan memastikan Sabah ditadbir dengan lebih baik pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










