Warisan tak puas hati penjelasan Pulau Sebatik

Warisan tak puas hati penjelasan Pulau Sebatik

MOHD. Shafie Apdal bercakap dalam sidang akhbar di DUN Sabah, Kota Kinabalu, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) mendesak kerajaan negeri lebih telus dan terbuka dalam memberi penjelasan berhubung isu persempadanan Malaysia–Indonesia di Pulau Sebatik.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ucapan penggulungan yang dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai gagal memberikan penjelasan sewajarnya.

Katanya, isu sebesar itu sepatutnya dijelaskan sendiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, perincian termasuk rundingan antara Malaysia dengan Indonesia perlu didedahkan bagi mengelak spekulasi serta kebimbangan dalam kalangan rakyat tempatan.

“Perkara ini penting. Kalau ada sebarang rundingan, ia harus lebih telus. Kita bukan menolak rundingan kerana ia penting sama ada dipersetujui atau tidak.

“Apabila dipersetujui, barulah perkara itu dibawa ke DUN sebelum ke Parlimen dan Majlis Raja-Raja. Dalam Perkara 2 (1) Perlembagaan Persekutuan, tiada sempadan boleh diubah tanpa persetujuan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Shafie yang juga Ketua Pembangkang DUN Sabah berkata, isu itu bukan perkara baharu kerana telah beberapa kali dibangkitkan termasuk di Parlimen, namun masih tiada ketelusan.

“Kita tidak mahu berlaku keadaan yang tidak diingini nanti. Selama ini, saya tidak nampak sebarang makluman kepada DUN mengenai proses atau kandungan rundingan. Saya menjangkakan Ketua Menteri hadir, namun malangnya tidak.

“Saya tidak puas hati kerana jawapan diberikan secara bertulis sedangkan perkara ini melibatkan kepentingan rakyat dan kerajaan negeri bertanggungjawab memberi penjelasan terperinci di Sidang DUN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN