KUALA LUMPUR: Agamawan kini berdepan cabaran apabila agama yang sepatutnya menjadi sumber keamanan, ketenangan, kemakmuran dan perpaduan sering dipolitikkan serta dimanipulasi untuk menyemarakkan permusuhan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun beliau mengiktiraf sumbangan dan pengorbanan agamawan, namun tidak dapat dinafikan terdapat pelbagai pelanggaran besar yang dilakukan atas nama agama.
“Kita sepatutnya mempromosikan keamanan, tetapi kadang kala menyemarakkan perpecahan. Kita sepatutnya menegakkan toleransi dan keadilan, tetapi ada kalanya membiarkan keganasan dan ketidakadilan berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ke-3 2026, di sini, hari ini.
Sidang kemuncak itu dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Perdana Menteri berkata, setiap agama dan sistem moral mengakui bahawa peredaran masa membawa perubahan norma serta teknologi dalam umat manusia serta menawarkan panduan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.
Namun, katanya, pada masa ini, suara hati moral manusia sedang dicabar oleh usaha mensabotaj secara sistematik terhadap undang-undang dan etika yang menjadi asas kepada tatanan dunia.
“Multilateralisme semakin digantikan dengan unilateralisme. Keamanan pula digantikan dengan keupayaan untuk meneruskan peperangan tanpa henti. Nasib golongan miskin dan terpinggir pula sering diketepikan,” katanya.
Beliau berkata, Piagam Madinah merupakan model dan asas sebuah negara yang mengiktiraf kepelbagaian agama dan kaum.
Kata, Nabi Muhammad SAW tidak pernah menafikan hak atau kedudukan mana-mana kelompok sebaliknya membina satu kontrak sosial yang memelihara maruah setiap individu.
“Keamanan yang dinikmati Malaysia hari ini sehingga membolehkan persidangan seperti ini berlangsung dan diterima baik oleh umat Islam serta bukan Islam merupakan bukti bahawa kita mampu hidup dalam suasana aman, toleran dan harmoni.
“Semua ini lahir daripada keterbukaan kita untuk berinteraksi dan berdialog… kekuatan kita bukan terletak pada keseragaman, tetapi pada kemampuan menguruskan perbezaan secara adil dan saksama,” katanya. – UTUSAN










