Bersatu ditendang keluar, Reset masuk PN ?

Bersatu ditendang keluar, Reset masuk PN ?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka ditendang keluar dari Perikatan Nasional (PN) dengan gabungan itu akan diperkukuhkan dengan kemasukan kumpulan Reset Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sebelum ini, seramai 13 ahli Parlimen Bersatu turut mendesak supaya parti itu segera keluar atau dikeluarkan daripada gabungan PN susulan keputusan Pas memutus hubungan kerjasama politik dengan parti.

Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh berkata, bukan lagi rahsia Pas mahu Reset bersama PN dan ia diperkukuhkan apabila Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang bakal merasmikan konvensyen kumpulan tersebut.

“Yang pasti, Reset akan bekerjasama dengan Pas sebagai ‘Electoral Pact’ atau pakatan pilihan raya dan akan menyertai PN apabila Bersatu keluar atau disingkirkan dari PN. Apabila ia berlaku, Reset akan bertanding di semua kerusi Bersatu di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan berkata, penyingkiran mana-mana parti dalam PN bergantung kepada keputusan suara majoriti anggota komponen dalam gabungan itu.

PN mempunyai empat parti komponen iaitu Pas selaku parti terbesar dalam gabungan, Bersatu Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Justeru, Abdul Hadi berkata, terpulang kepada Gerakan atau MIPP sama ada mahu menyokong Pas atau Bersatu untuk kekal dalam PN setelah kedua-dua parti berkenaan mengakhiri kerjasama politik mereka.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan berhubung dakwaan Pas merancang menyingkirkan Bersatu daripada PN jika berjaya mempengaruhi Gerakan dan MIPP.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan berkata, 18 ahli Parlimen Bersatu yang ada antaranya dipecat serta digantung termasuk beliau akan bersama Reset diketuai Hamzah.

Katanya, tindakan Bersatu yang memecat dan menggantung terlalu ramai ahli Parlimennya menyebabkan keadaan Bersatu kelam kabut, sekali gus telah melemahkan parti.

Ujarnya, keadaan itu juga menyebabkan akar umbi sudah mula ragu dengan barisan kepemimpinan Bersatu diketuai Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita bukan tidak pernah tegur Muhyiddin agar mengambil tindakan menyelesaikan kemelut Bersatu itu namun gagal ditangani.

“Sekarang 18 Ahli Parlimen bersama Hamzah dengan hanya enam kekal bersama Muhyiddin. Kami tetap ikut Reset sebab Hamzah lebih banyak bersama kami berbanding Muhyiddin yang sebelum ini hendak jumpa pun susah,” katanya yang kini digantung Bersatu.

Abdul Hadi dijangka mengumumkan beberapa ‘perkara’ penting berhubung perkembangan politik ketika merasmikan Konvensyen Reset Malaysia di Tanah Merah, Kelantan, hari ini dan pada Rabu, Pas akan mengadakan mesyuarat seterusnya membuat beberapa keputusan mengenai hala tuju politik parti itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN