Sokongan undi Warisan meningkat walaupun tewas

Sokongan undi Warisan meningkat walaupun tewas

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Meskipun Parti Warisan (Warisan) tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Parlimen Kinabatangan, namun parti itu merekodkan peningkatan sokongan pengundi, termasuk di beberapa saluran yang sebelum ini langsung tidak berpihak kepada Warisan.

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, keputusan itu sekali gus mencerminkan berlakunya peralihan sokongan dan penembusan pengaruh baharu di kawasan berkenaan.

“Kalau sebelum ini kita hanya menang dengan majoriti sekitar 200 undi, tetapi kali ini meningkat kepada lebih 1,000 undi. Ini menunjukkan sokongan terhadap Warisan semakin bertambah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya lagi, peningkatan undi tersebut memberi isyarat bahawa Warisan masih mempunyai kekuatan untuk bangkit semula dan mencabar pada PRN akan datang.

Namun, Mohd. Shafie berkata, pihaknya menghormati keputusan tersebut dan menjelaskan kekalahan itu sudah dijangka di peringkat awal.

“Keputusan ini memang sudah dijangka dan bukan mudah untuk Warisan memenangi PRK ini, namun kami tetap menerima keputusan rakyat dengan penuh hormat, kita mengucapkan terima kasih kepada seluruh pengundi di Lamag dan Kinabatangan,” katanya.

Keputusan PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan Mohd. Kurniawan Naim Moktar dari Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi yang disandang bapanya, Allahyarham Datuk Seri

Bung Moktar Radin sejak 1999 selepas meraih majoriti 14,214 undi, menewaskan Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).

Bagi PRK DUN Lamag, Mohd. Ismail Ayob mengekalkan kerusi tersebut untuk BN apabila memperoleh majoriti 5,681 undi, mengatasi pencabarnya Mazliwati Abdul Malek daripada Warisan.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian Bung Moktar, 66, pada 5 Disember tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN