KOTA KINABALU: Seramai tujuh orang disahkan meninggal dunia dan tiga lagi masih belum ditemukan dalam tiga kejadian tanah runtuh yang berlaku sejak semalam.
Dua daripada mangsa yang maut adalah daripada Kampung Mook, Papar manakala lima lagi maut dalam kejadian di Kampung Cenderakasih, Kolombong, Inanam dekat sini.
Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
Dua mangsa turut ditemukan tertimbus dalam kejadian Kampung Marahang Tuntul, Papar namun keadaan mereka masih belum dapat dipastikan.
Mereka yang masih belum ditemukan dalam runtuhan tanah tersebut ialah dua di Kampung Cendera Kasih dan seorang di Kampung Marahang Tuntul, Papar.
Menurut kenyataan dikeluarkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, kejadian di Kampung Mook membabitkan tiga buah rumah manakala kejadian di Kampung Marahang dan Kampung Cenderakasih masing-masing membabitkan sebuah rumah.
Di Kampung Mook, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Hamdani Harith membabitkan tiga anggota daripada balai bomba berkenaan dan enam anggota daripada Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Operasi di Kampung Marahang Tuntul, Papar diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Imamat Tawarid dan melibatkan 16 orang anggota.
Di Kampung Cenderakasih, Kolombong operasi diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Wilfred Sulai dan membabitkan seramai 21 orang anggota daripada balai bomba berkenaan termasuk unit K9.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas berkata, kejadian di kampung berkenaan membabitkan 11 mangsa yang empat daripadanya selamat apabila berjaya keluar sendiri daripada runtuhan.
Sementara itu, Kerajaan menyalurkan bantuan RM21 juta membantu penduduk di Sabah berdepan bencana banjir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RM11 juta diagihkan melalui kerajaan negeri manakala RM10 juta lagi diluluskan segera melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Dana itu digunakan untuk pembaikan segera kemudahan asas dan diagihkan terus kepada mangsa yang terkesan malah seluruh jentera kerajaan sudah digerakkan dengan segera untuk membantu rakyat yang terjejas agar bantuan dapat sampai tanpa sebarang gangguan.
Berikutan bencana itu, sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah dijadual berlangsung di Padang Merdeka, Kota Kinabalu hari ini, dibatalkan. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, hujan berterusan menjejaskan sekurang-kurangnya tujuh daerah dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman.
“Keutamaan segera kerajaan negeri adalah untuk mengurus krisis, menyelaras usaha pemulihan dan memastikan operasi menyelamat dilaksanakan dengan pantas bagi komuniti yang terjejas,” katanya dalam kenyataan.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri diarah berjaga-jaga dan bersiap sedia untuk tindakan segera memandangkan keadaan di lapangan terus berubah, susulan cuaca buruk berpanjangan.
Beliau turut meminta orang ramai supaya terus berwaspada, mematuhi nasihat keselamatan serta memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyelamat ketika usaha sedang dipertingkatkan di seluruh negeri.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah merekodkan sebanyak 122 insiden bencana alam di beberapa daerah di negeri ini sepanjang tempoh 8 hingga 15 September lalu.
Bencana tersebut melibatkan banjir kilat, banjir bermusim, runtuhan jalan, runtuhan cerun, jambatan rosak atau runtuh, selain kejadian kepala air dan tanah lumpur dan antara daerah paling terjejas, Penampang dengan 36 insiden, diikuti Kota Kinabalu (41), Beaufort (25), Keningau (4), Papar (6), Sipitang (3), Tambunan (3) dan Tuaran (2).
Kebanyakan insiden berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak awal September yang meningkatkan risiko tanah runtuh dan menjejaskan infrastruktur jalan raya serta jambatan.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan penumpuan angin berterusan di barat Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan serta kawasan tengah dan utara Sarawak sehingga hari ini.
Keadaan itu berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat yang boleh berlaku dalam tempoh lebih panjang berbanding kebiasaan. – UTUSAN










