TUARAN: Penjaja dan peniaga kecil yang menjalankan perniagaan tepi jalan sekitar kawasan Sulaman di sini, akan menerima bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM3,000 seorang.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pemberian itu sebagai memenuhi janji dan berharap ia dapat membantu penaja serta peniaga kecil meneruskan perniagaan mereka.
“Sebagai wakil rakyat Sulaman, saya membuat janji itu dan berharap dapat menerima senarai penerima secepat mungkin,” katanya merasmikan Karnival Usahawan dan STEM X Challenge sempena perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Pusat Kebudayaan Bajau Sama Sabah, Lok Batik di sini, malam tadi.
Hajiji mengarahkan Pegawai Daerah Tuaran supaya menyenaraikan semua peniaga kecil yang layak bagi membolehkan bantuan disalurkan segera kepada mereka.
Beliau memahami keperluan peniaga kecil yang sebahagian besar memerlukan bantuan kewangan sedemikian untuk meneruskan perniagaan.
Dalam pada itu, Hajiji menyifatkan karnival usahawan dan STEM X Challenge sebagai inisiatif amat bermakna kerana mampu membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan mereka.
“Kegiatan itu memberi galakan dan peluang kepada usahawan kecil terutama belia untuk terus menceburi bidang keusahawanan. Tidak semua orang boleh menjadi pegawai kerajaan, tetapi kita boleh menceburi bidang perniagaan dan menjadi usahawan,” katanya.
Beliau berkata, jika berjaya sebagai usahawan, mereka mampu menjana pendapatan lebih baik, namun penting harus tekun berusaha dan tidak malu untuk berniaga.
Katanya, kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada usahawan khususnya golongan muda membantu mereka maju dan berjaya dalam bidang perniagaan. – UTUSAN










