SANDAKAN: Kerajaan Negeri Sabah merancang membangunkan semula Kampung Bahagia, Batu Sapi, di sini, yang memusnahkan kira-kira 1,000 rumah sebagai perkampungan yang sah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perancangan itu akan diumumkan secara terperinci selepas meneliti laporan yang akan dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBN) Sandakan.
Katanya, antara cadangan yang bakal dilaksanakan termasuk usaha menambak kawasan berkenaan bagi tujuan pembangunan perumahan baharu.
“Kita ada perancangan untuk membangunkan kawasan ini sebagai kawasan perkampungan yang sah. Saya ingat sekurang-kurang satu atau dua minggu baru kita dapat laporan penuh.
“Jadi ini pun mengambil kos yang agak banyak. Tetapi kita lihat macam mana nanti cadangan daripada Majlis Perbenaran Sandakan untuk kita menempatkan rakyat kita yang terlibat dalam kebakaran ini. Kita pada saat ini kita bercadang begitu namun kita tunggu laporan daripada JPBN,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi, di sini, hari ini.
Sebanyak RM2,000 bantuan diberikan kepada setiap ketua isi rumah (KIR), masing-masing RM1,000 daripada kerajaan negeri dan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).
Sementara itu kata Hajiji, kawasan berkenaan pada asalnya adalah kawasan penempatan pelarian dibawah kelulusan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Saya difahamkan lebih 70 peratus yang terbabit adalah bukan warganegara. Hanya 30 peratus sahaja warganegara, jadi kita akan jadikan perkampungan sah di sini.
“Walaupun begitu, bantuan tetap diberikan kepada semua mangsa tanpa mengira status kewarganegaraan kerana kerajaan bersikap prihatin terhadap semua yang terlibat,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 1,000 rumah musnah dalam kebakaran di kampung berkenaan membabitkan 8,000 mangsa. – UTUSAN










