LKIM jamin stok ikan mencukupi menjelang Monsun Timur Laut - Utusan Malaysia

LKIM jamin stok ikan mencukupi menjelang Monsun Timur Laut

MUHAMMAD Faiz Fadzil (duduk, tengah) ketika menghadiri majlis rahmah mesra Madani Pengerusi LKIM bersama nelayan Teluk Bahang di Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bahawa stok ikan yang disediakan untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini sehingga Mac tahun depan adalah mencukupi buat masa ini.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, ketika ini, LKIM turut bekerjasama dengan beberapa organisasi swasta menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi memastikan agar bekalan terus tersedia sekiranya berlaku kelewatan bekalan atau kekurangan ikan di pasaran.

Katanya, pada masa yang sama, lebih 2,000 peniaga yang terlibat dalam perniagaan ikan import juga membantu secara tidak langsung dengan memastikan agar bekalan ikan tidak terputus sepanjang tempoh berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seperti tahun-tahun yang lalu, bekalan ikan itu sentiasa ada dan kita akan kekalkan momentum itu,” katanya selepas menghadiri majlis rahmah mesra Madani Pengerusi LKIM bersama nelayan Teluk Bahang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, stok simpanan ikan sedia ada ketika ini ditempatkan di kompleks LKIM yang mempunyai kemudahan bilik sejuk atau bilik penyimpanan sebelum diuruskan oleh persatuan nelayan yang terlibat.

Beliau berkata, stok ikan berkenaan bagaimanapun tidak disimpan terlalu lama bagi memastikan agar kesegaran dan kualitinya sentiasa terpelihara selain akan ditambah secara berterusan apabila stok dikeluarkan.

“Setakat ini, antara persatuan yang menyokong usaha itu ialah Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Kedah serta Persatuan Nelayan di Besut, Kemaman dan Kuantan,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Faiz berkata, LKIM turut menyediakan peruntukan pembangunan bagi membina dan membaik pulih jeti pendaratan ikan yang uzur bagi memastikan kemudahan berkenaan terus dapat digunakan oleh nelayan.

Katanya, sebagai contoh, lebih RM2 juta diperuntukkan tahun ini bagi tujuan pembinaan empat buah jeti dengan setiap projek dianggarkan menelan kos lebih RM500,000.

Tambah beliau, jeti-jeti yang terpilih untuk pembinaan baharu serta kerja-kerja baik pulih telah dikenal pasti, namun, perincian mengenainya termasuk jumlah peruntukan yang akan diterima bagi tujuan itu masih belum dimuktamadkan buat masa ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini