Sabah miliki potensi terbesar negara bangunkan teknologi OTEC - Hajiji

Sabah miliki potensi terbesar negara bangunkan teknologi OTEC – Hajiji

HAJIJI Noor sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bermula. - IHSAN JABATAN PENERANGAN SABAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sabah memiliki potensi terbesar di Malaysia untuk membangunkan projek perintis tenaga boleh baharu menggunakan teknologi Penukaran Tenaga Haba Lautan (OTEC), sekali gus membuka peluang kepada negeri ini untuk menjadi peneraju penjanaan tenaga boleh diperbaharui (TBB) berasaskan sumber laut.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata berdasarkan kajian yang dijalankan, negeri ini memiliki sekitar 70 hingga 75 peratus daripada keseluruhan potensi tenaga laut atau OTEC di negara ini.

Menurutnya, pihaknya kini giat membuat persiapan awal bagi merealisasikan pembangunan teknologi berkenaan menerusi Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Sabah mempunyai potensi yang terbesar di negara kita, iaitu merangkumi kira-kira 70 hingga 75 peratus daripada keseluruhan potensi tenaga laut atau OTEC di Malaysia.

“Kerajaan melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) telah memulakan usaha dan pegawai-pegawai kita juga mengadakan lawatan kerja ke beberapa negara khususnya Jepun yang telah mempelopori penjanaan tenaga menggunakan teknologi OTEC. Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar, kita akan dapat melaksanakan program OTEC ini di perairan negeri Sabah,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan perancangan menyeluruh bagi menstabilkan serta meningkatkan kapasiti bekalan elektrik menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040).

Katanya, pelaksanaan pelan terbabot disusun secara teratur bagi memastikan keperluan bekalan elektrik dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat di seluruh negeri.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan, kerajaan negeri terus memberi keutamaan kepada usaha memperluaskan akses bekalan elektrik ke kawasan luar bandar dan pedalaman di Sabah.

“Selain peruntukan kerajaan Persekutuan bagi pembinaan talian elektrik ke kampung-kampung pedalaman, kerajaan negeri juga komited memastikan bekalan elektrik dapat disalurkan ke setiap kampung dan rumah rakyat di Sabah,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN