Pas mampu jadikan Malaysia model negara Islam terbaik dunia 

Pas mampu jadikan Malaysia model negara Islam terbaik dunia 

Muhammad Faizuddin Mohd. Zai
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pemuda Pas menyifatkan parti itu mampu menjadikan Malaysia sebagai model negara Islam terbaik dunia sekiranya diberi peluang mentadbir negara.

Perwakilannya, Muhammad Faizuddin Mohd. Zai ketika membentangkan usul Pemerkasaan Perikatan Nasional (PN) berkata, parti perlu bersiap sedia untuk memimpin PN dan kepimpinan utama negara pada masa depan.

“Cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai model negara Islam terbaik di persada dunia sedang membuahkan hasil. Insya-Allah, pemimpin terbaik yang berada di atas inilah yang akan memimpin kita ke Putrajaya. 

“Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, Pemuda Pas menegaskan bahawa parti mesti bersedia untuk memimpin PN serta mengemudi kepimpinan negara,” ujarnya ketika membentangkan usul pada Muktamar Tahunan Pas ke-71 hari ini. 

Tambah beliau, rakyat kini kecewa dengan politik semasa serta kerosakan yang berlaku dalam negara, termasuk kegagalan ekonomi dan penipuan politik yang dilakukan pemimpin negara. 

“Kita tidak tahu mungkin skandal politik yang berlaku hari ini kesannya lebih besar daripada skandal-skandal sebelum ini,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar yang menyokong usul itu berkata, rekod ‘bersih’ Pas di Kelantan setelah tiga dekad membuktikan parti itu layak mentadbir negara dengan berkesan. 

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu Kelantan bebas daripada skandal rasuah besar atau salah laku pentadbiran sekaligus menjadi satu pencapaian yang tidak pernah berlaku di negeri lain.

“Ini membuktikan Pas serius menjaga integriti pentadbiran dan menjadi parti yang paling stabil dalam PN. Kejayaan pentadbiran Terengganu yang diterajui golongan teknokrat juga memperkukuh kredibiliti Pas sebagai parti yang mampu melaksanakan dasar dengan baik. 

“Ini memberi keyakinan kepada rakyat bahawa Pas bukan sahaja berpolitik, tetapi mampu tadbir dengan cemerlang. Visi pembangunan Greater Kedah juga membuktikan kesungguhan Pas membangunkan negeri secara berstrategi, manakala pentadbiran Perlis pula contoh kepimpinan mesra rakyat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN