Hanya Pas yang belum jadi PM - Utusan Malaysia

Hanya Pas yang belum jadi PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS Pilihan Raya Umum Ke-14 pada tahun 2018, kita sudah menyaksikan pelbagai bentuk kerajaan yang memerintah negara ini.

Dengan tumbangnya Barisan Nasional (BN)/UMNO selepas 60 tahun memerintah, belum ada lagi parti yang mampu tampil dengan satu pemerintahan yang stabil.

Dalam tempoh tujuh tahun pasca-PRU14, bermacam-macam bentuk kerajaan sudah kita lihat. Ada yang jadi kerajaan 22 bulan, ada yang hanya 17 bulan dan ada pula yang mencatat sejarah sebagai Perdana Menteri paling singkat di negara ini.

Sepanjang tempoh dari PRU14 dan kini menuju ke Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kita juga sudah dapat merasai pemerintahan daripada semua parti.

Jika sebelum PRU14 ramai yang merungut kerana pemerintahan negara hanya didominasi oleh pemimpin-pemimpin dari BN/UMNO hingga mereka didakwa perasuah, penindas, diktator dan sebagai, tetapi selepas itu kita berpeluang merasai pentadbiran hampir daripada semua parti.

Selepas PRU14, Pakatan Harapan (PH) berjaya menjadi kerajaan, tetapi disebabkan mereka tidak ada tokoh untuk diangkat menjadi Perdana Menteri (ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim masih dalam penjara), maka Tun Dr. Mahathir Mohamad diangkat sebagai Perdana Menteri untuk kali kedua.

Di bawah PH buat pertama kali juga kita melihat DAP yang selama ini dikenali sebagai pembangkang tegar turut berada dalam Kerajaan Persekutuan.

Ketika semua orang mengharapkan PH membawa pemerintahan yang lebih baik, telus dan terbuka berbanding BN/UMNO, malangnya hayat pentadbiran mereka tidak lama. Kemelut dalaman, perebutan kuasa, dengki, iri hati dan sebagainya menyebabkan Dr. Mahathir melepaskan jawatan itu.

Serentak dengan itu juga PH kehilangan kuasa sebagai kerajaan apabila Bersatu menarik diri dan membentuk pakatan baharu bersama Pas dan BN/UMNO. Pakatan yang diberi nama Perikatan Nasional (PN) itu mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Dan untuk pertama kali juga pemimpin-pemimpin Pas diangkat menganggotai Kabinet Persekutuan. Satu perkembangan yang kita tidak pernah lihat dan tidak pernah dijangka sebelum.

Malangnya, jangka hayat pimpinan Muhyiddin juga tidak lama. Hanya bertahan 17 bulan ekoran ada desakan supaya beliau melepaskan jawatan dan memberi laluan kepada kepimpinan baharu untuk menerajui negara.

Disebabkan itu jawatan Perdana Perdana Menteri kembali kepada BN/UMNO dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah selepas mendapat sokongan majoriti termasuk dari Pas dan Bersatu.

Ibarat kata pepatah, disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Hayat Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri juga tidak lama apabila beliau mengumumkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022.

PRU15 menyaksikan BN/UMNO sekali lagi tewas teruk, tetapi kekal dalam kerajaan apabila mereka bersama dengan Pakatan Harapan membentuk Kerajaan Perpaduan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Kini selepas hampir tiga tahun, Kerajaan Perpaduan masih bertahan dan telah menyumbangkan kepada kestabilan politik negara, walaupun cakap-cakap untuk menukar kerajaan kedengaran hampir setiap hari ini.

Apa yang kita boleh lihat dalam era selepas PRU14 adalah semua parti pollitik di negara ini sudah berpeluang menjadi kerajaan. Daripada PKR, DAP, Bersatu, Pas, Amanah dan parti-parti kecil lain. Semuanya sudah berpeluang merasa duduk di kerusi Kabinet dalam Kerajaan Persekutuan. Sesuatu yang tidak pernah dibayangkan sebelum PRU14.

Begitu juga dengan jawatan Perdana Menteri. Anwar yang pernah dinafikan jawatan itu sebanyak dua kali akhirnya menerajui negara atas kapasitinya sebagai Pengerusi PH yang dianggotai PKR dan DAP.

Begitu juga dengan Bersatu. Walaupun masih baharu ditubuhkan, pemimpin mereka pernah menjadi Perdana Menteri.

Parti yang pemimpinnya masih belum menjadi Perdana Menteri pada ketika ini hanyalah Pas. Walaupun mereka adalah antara parti politik tertua di negara ini selepas UMNO, dan pernah menyokong calon-calon dari parti lain menjadi Perdana Menteri, tetapi mereka sendiri tidak pernah menuntut jawatan itu.

Pada hal jika dilihat daripada segi kekuatan di Parlimen, Pas cukup kuat. Dengan 43 kerusi Parlimen berbanding Bersatu hanya 31, Pas sepatutnya boleh menjadi dominan dalam menuntut jawatan Perdana Menteri.

Namun, parti yang memerintah empat negari iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis itu kekal merendah diri apabila ditanya mengenai kemungkinan akan menamakan salah seorang pemimpin mereka sebagai calon Perdana Menteri.

Pada masa ini Pas dilihat lebih selesa untuk menyokong pemimpin Bersatu sebagai calon pemimpin utama dalam pentadbiran negara.

Setakat ini hanya Mursyidul Amnya, Datuk Hashim Jasin yang konsisten mengatakan sudah tiba masanya Pas mengetuai atau memimpin PN termasuk untuk jawatan Perdana Menteri.
Kepemimpinan Pas yang lain terus kekal dengan pendirian bahawa jawatan itu bukan keutamaan mereka, kerana fokus utama adalah menang pilihan raya.

Daripada segi tokoh dan calon parti itu memiliki ramai calon muda dan berwibawa untuk diketengahkan sebagai pemimpin utama negara. Jika kelayakan dan ketokohan yang menjadi ukuran, siapa sangka beberapa individu sebelum ini boleh diangkat sebagai Perdana Menteri? Begitu juga dengan jawatan lain seperti Menteri Besar dan Ketua Menteri. Ada saja individu yang tidak diduga dilantik.

Sempena dengan muktamar Pas tahun ini, ramai pemerhati berpendapat inilah masanya untuk mereka menyatakan pendirian dalam menuntut jawatan nombor satu itu andainya PN menang pada PRU16.

Alasan mereka adalah, hanya kepemimpinan Pas yang masih belum diuji dalam menerajui pentadbiran negara. Yang lain semua rakyat sudah rasa. Dan rakyat sudah boleh menilai keupayaan dan kebolehan mereka.

Kini hanya Pas sahaja yang belum pernah menjadi Perdana Menteri. Mungkin mereka boleh membawa satu pemerintahan berbeza jika diberi peluang andai PN menang PRU16.

Namun, jika dilihat kepada pendirian parti itu ketika ini, perkara itu tidak mungkin berlaku kerana Pas lebih selesa untuk menerajui empat negeri yang di bawah pemerintahan mereka ketika ini.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN