Sejauh mana Pas bersedia untuk memimpin negara?

Sejauh mana Pas bersedia untuk memimpin negara?

SEBAHAGIAN perwakilan yang hadir ke Majlis Perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia di Kompleks Pas Kedah di Alor Setar, semalam. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKTAMAR Tahunan Pas Kali Ke-71 yang akan diadakan pada 15 dan 16 September 2025 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut hadir dalam suasana politik nasional yang dinamik. Kedudukan Pas sebagai parti dengan bilangan kerusi Parlimen terbesar (43 kerusi) memberikan dimensi baharu terhadap peranan muktamar ini. Ia boleh dilihat sebagai medan untuk menilai penampilan Pas sebagai parti arus perdana yang diyakini rakyat untuk memimpin negara.

Konteks Kepimpinan
Menariknya, suhu politik menjelang muktamar kali ini agak berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kehangatan berkurang setelah tiga jawatan tertinggi—Presiden, Timbalan Presiden, dan Naib-Naib Presiden dimenangi tanpa pertandingan.

Hanya jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang menjadi medan saingan dengan 30 calon menawarkan diri untuk mengisi 18 kerusi.

Situasi ini memperlihatkan kesatuan dalam hierarki tertinggi parti, tetapi pada masa sama memberi ruang untuk diuji tahap keterbukaan Pas kepada pelbagai kelompok dalam parti—ulamak, profesional, teknokrat dan aktivis masyarakat.

Jika ditinjau kembali Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-69 di IDCC Shah Alam pada 2023, pola kepimpinan memperlihatkan keseimbangan antara golongan ulamak dan bukan ulamak.

Tokoh-tokoh bukan ulamak seperti Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Datuk Dr. Azman Ibrahim, Dr. Halimah Ali, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff, Datuk Awang Hashim, Datuk Ahmad Amzad Hashim, Dr. Najihatussalehah Ahmad, Datuk Ir. Iskandar Abdul Samad dan Dr. Rosni Adam mendapat tempat dalam Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, menandakan wujudnya keperluan parti untuk mengimbangi wacana agama dengan kepakaran teknokratik dan pentadbiran moden.

Daripada perspektif rakyat, khususnya pengundi yang semakin kritikal dalam menilai keupayaan politik, terdapat sekurang-kurangnya sepuluh dimensi harapan utama yang boleh dihuraikan secara lebih akademik:

Perbahasan yang Berilmu dan Bernas
Muktamar ini perlu mengangkat isu struktural negara seperti ekonomi, kos sara hidup, pendidikan, digitalisasi dan geopolitik. Kegagalan untuk menjadikan perbahasan sebagai medan penyelesaian masalah rakyat hanya akan mengekalkan persepsi bahawa Pas masih terikat dengan polemik dalaman, bukannya parti solusi.

Akhlak Politik dan Budaya Wacana
Pas sering menampilkan dirinya sebagai parti Islam yang berteraskan akhlak dan nilai. Oleh itu, rakyat mengharapkan budaya perbahasan yang berhemah, penuh disiplin dan tidak terjerumus ke dalam retorik emosi yang menjejaskan imej parti. Hal ini penting untuk membezakan Pas daripada parti-parti lain yang sering dicemari perbalahan terbuka.

Kepimpinan Teknopolitik dan Generasi Baharu
Pas kini berada pada persimpangan. Untuk tampil sebagai parti arus perdana, ia memerlukan barisan teknokrat, profesional, dan ulamak muda yang berwibawa. Kehadiran mereka dalam muktamar dengan cadangan yang segar akan menandakan bahawa Pas mampu menawarkan alternatif kepimpinan nasional yang kompeten.

Mengelakkan Politik Pecah-Belah
Fenomena perebutan jawatan dan perpecahan dalaman yang sinonim dengan parti-parti lain seperti PKR tidak boleh menular ke dalam Pas. Harapan rakyat ialah agar Muktamar Pas menunjukkan kesatuan dan disiplin kepimpinan yang kukuh, sekali gus membina keyakinan bahawa parti ini mempunyai kestabilan dalaman untuk mentadbir negara.

Pas sebagai Parti Arus Perdana
Ucapan dasar Presiden akan menjadi ukuran sejauh mana Pas mampu menampilkan naratif sebagai parti nasional. Fokus terhadap isu-isu seperti kestabilan politik, pelaburan berkualiti, pembangunan industri hijau, dan inovasi teknologi akan memperkukuh imej Pas sebagai parti yang bersedia menguruskan negara dalam konteks global.

Membawa Suara Rakyat
Pas perlu membuktikan bahawa denyut nadi rakyat menjadi keutamaan. Isu-isu kehidupan harian seperti harga barang, peluang pekerjaan, kesihatan awam, dan pendidikan perlu ditangani secara langsung dalam perbahasan, agar Pas dilihat dekat dengan realiti rakyat, bukan sekadar membincangkan strategi politik.

Inklusiviti dan Politik Rahmah
Walaupun Pas berteraskan Islam, rakyat mahu melihat pendekatan yang inklusif, mampu merangkul semua kaum dan lapisan masyarakat. Naratif politik rahmah yang inklusif akan menentukan sama ada Pas boleh menembusi sokongan di luar kubu tradisionalnya.

Kesediaan Memimpin Negara
Muktamar kali ini menjadi medan penting untuk Pas menampilkan dasar ekonomi, model pembangunan dan polisi pentadbiran yang komprehensif. Rakyat tidak lagi mahu mendengar retorik pembangkang semata, tetapi mahu diyakinkan bahawa Pas benar-benar bersedia untuk memimpin negara.

Mengangkat Model Pentadbiran Negeri-Negeri SG4
Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis merupakan laboratorium kepimpinan Pas. Kejayaan di negeri-negeri ini dari sudut pelaburan, pembangunan ekonomi, integriti dan pengurusan sosial perlu dijadikan testimoni. Pada masa yang sama, sebarang kelemahan perlu diakui dan diiringi dengan strategi penambahbaikan.

Muktamar sebagai Simbol Penyatuan Ummah
Akhir sekali, rakyat mahu melihat Muktamar Pas sebagai simbol perpaduan umat Islam dan bangsa Malaysia. Dalam suasana politik yang sering berpecah, Pas berpeluang membina naratif bahawa ia adalah parti penyatu, bukan pemecah belah.

Implikasi Politik
Muktamar Pas ini akan menjadi barometer kepada tiga aspek utama. Pertama, legitimasi politik, iaitu sejauh mana Pas mampu meyakinkan rakyat bahawa ia parti nasional, bukan hanya parti kawasan.

Kedua, kestabilan dalaman, iaitu sejauh mana kepimpinan dapat mengelakkan perpecahan dan mengekalkan kesatuan saf.

Ketiga, aspek kesiapan memerintah, iaitu sejauh mana Pas dapat menampilkan dasar dan model pentadbiran yang boleh diyakini rakyat.

Jika ketiga-tiga aspek ini dapat ditampilkan secara meyakinkan, Pas akan muncul sebagai salah satu aktor politik paling dominan dalam landskap Malaysia. – UTUSAN

MOHD. Afifi Abdul Razak ialah seorang penganalisis politik tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN