PETALING JAYA: Hasrat Pas untuk mengemudi Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya akan datang termasuk mencalonkan Perdana Menteri sendiri dijangka mencetuskan ketidakseimbangan dalam gabungan itu.
Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, langkah itu tidak menimbulkan masalah dalam kalangan penyokong tegar Pas namun ia boleh meluaskan jurang penolakan pengundi bukan Melayu terhadap PN.
“Jika Pas mengetuai PN, ia akan menambah jurang penolakan pengundi bukan Melayu. Ini kerana Pas dianggap agak ekstrem dalam meluahkan pandangan, khususnya berkaitan agama dan bangsa, dan perkara ini memberi kesan negatif kepada gabungan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, kewujudan dua nama sebagai calon Perdana Menteri dalam PN juga mencetuskan kekeliruan kepada pengundi.
“Masalahnya dalam PN sekarang, terdapat dua calon Perdana Menteri. Jadi apa mesej yang dihantar kepada pengundi? Ia memberi gambaran bahawa sebelum pilihan raya umum (PRU) bermula pun mereka belum sepakat,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Mazlan Ali berkata, tindakan Pas menonjolkan calon Perdana Menteri mencerminkan protes dalaman terhadap dominasi Bersatu dalam PN sejak sekian lama, walhal Pas mempunyai jumlah kerusi Parlimen lebih besar.
Katanya, protes Pas itu sudah lama kerana mereka merasakan penguasaan Bersatu dalam PN terlalu berleluasa.
“Calon Perdana Menteri daripada Pas hanya mampu menarik sokongan padu di Pantai Timur, tetapi sukar menembusi kawasan bandar yang bercampur komposisi pengundinya.
“Di kawasan bandar, pengundi lebih cenderung menolak calon Pas dan memilih Bersatu kerana Pas dilihat terlalu konservatif dengan naratif Melayu-Islam yang tidak selari dengan aspirasi mereka,” katanya.
Mengulas mengenai peranan Bersatu jika Pas mengemudi PN, beliau berkata, sekiranya Pas mengetuai PN, peranan Bersatu akan semakin mengecil kerana selama ini kekuatan parti itu banyak bergantung pada jentera Pas.
“Pas ada penyokong dan jentera yang ramai, manakala Bersatu tidak. Tanpa sokongan Pas, Bersatu sukar menggerakkan jenteranya.
“Jika Pas ambil alih, mereka mungkin bertanding lebih banyak kerusi dan menguasai kawasan tradisi di pantai timur dan utara manakala Bersatu hanya diletakkan di kawasan luar tradisi yang sukar dimenangi.
“Keadaan ini boleh menyebabkan Bersatu dipencilkan secara beransur-ansur dalam PN,” katanya. – UTUSAN










