GEORGE TOWN: Lebih 13 juta rakyat telah membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) setakat Sabtu lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, walaupun ramai telah menggunakan sepenuhnya kredit RM100 yang disediakan itu, namun masih terdapat penerima yang mempunyai baki untuk dibelanjakan.
“Sehingga Sabtu, jumlah rakyat yang sudah menebus kredit SARA melebihi 13 juta orang. Kadang-kadang, ada penerima yang tidak menggunakan kesemua RM100 itu sekali gus. Jika ada baki, mereka boleh terus menggunakannya sehingga hujung tahun ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Mega e-Invois Siri Kedua Tahun 2025 di Menara Hasil, di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas akan menerima RM100 secara ‘one-off’ melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.
Anwar berkata, bantuan itu boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos sehingga 31 Disember bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99 Speedmart serta kedai-kedai runcit di semua daerah seluruh negara. – UTUSAN










