Kastam menterai MRA dengan New Zealand perkukuh hubungan perdagangan

Kastam menterai MRA dengan New Zealand perkukuh hubungan perdagangan

ANIS Rizana Mohd. Zainudin bersama Christine Stevenson menandatangani Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA) dalam memperkukuhkan hubungan perdagangan dua negara ini sebagai rakan utama di rantau Indo-Pasifik, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA) yang ditandatangani Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bersama Perkhidmatan Kastam New Zealand menjadi satu lagi langkah penting dalam memperkukuh hubungan perdagangan dua negara ini sebagai rakan utama di rantau Indo-Pasifik.

Majlis menandatangani perjanjian itu disempurnakan Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin bersama Ketua Eksekutif dan Pengawal Perkhidmatan Kastam New Zealand, Christine Stevenson semalam.

Melalui MRA ini, kedua-dua negara akan saling mengiktiraf program Pengendali Ekonomi yang Diiktiraf (AEO) masing-masing, sekali gus memberi kemudahan prosedur kastam yang lebih pantas dan ringkas kepada pengeksport yang memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa.

Anis Rizana berkata, kejayaan memuktamadkan perjanjian yang dimulakan sejak 2021 itu mencerminkan kepercayaan serta keyakinan kedua-dua negara terhadap sistem masing-masing.

“Malaysia berbangga menjadikan New Zealand sebagai rakan pertama di rantau Oceania dalam kerangka MRA ini.

“Ia membuka jalan kepada kerjasama yang lebih kukuh di rantau Asia Pasifik serta mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan serantau,” katanya di sini.

Dalam pada itu, Christine berkata, pengiktirafan ini akan mengurangkan kerenah birokrasi, menjimatkan kos dan memberi jaminan bahawa barangan dagangan sampai ke pasaran dengan cepat serta selamat tanpa menjejaskan tahap keselamatan di sempadan.

Sepanjang lawatan rasmi empat hari ke New Zealand Anis Rizana bermula 8 September lalu turut melawat beberapa fasiliti kastam di Auckland.
Lawatan itu termasuk dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland, Pusat Penyelarasan dan Operasi Bersepadu serta Pusat Pemprosesan Auckland yang baharu dibuka bagi menguruskan mel antarabangsa.

Sebelum ini, New Zealand telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Malaysia yang menghapuskan tarif ke atas 99.5 peratus eksport negara itu.

Pada 2024, jumlah dagangan dua hala barangan antara Malaysia dan New Zealand mencecah NZ$3.96 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×