Nilai rampasan penyeludupan melonjak 37.7 peratus kepada RM2.055 bilion - Utusan Malaysia

Nilai rampasan penyeludupan melonjak 37.7 peratus kepada RM2.055 bilion

ANTARA barangan rampasan kes penyeludupan yang berjaya dipatahkan JKDM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Nilai barangan yang terlibat dalam kes penyeludupan dan penyelewengan duti serta cukai kastam yang berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melonjak 37.7 peratus kepada RM2.055 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Jumlah itu meningkat RM563 juta berbanding RM1.492 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu, sekali gus mencerminkan skala barangan yang terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Amran Ahmad berkata, dalam tempoh sama, JKDM berjaya mematahkan sebanyak 5,180 kes penyeludupan dan penyelewengan duti serta cukai kastam, meningkat 167 kes atau 3.33 peratus berbanding 5,013 kes pada tempoh sama tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Daripada keseluruhan kes tersebut, nilai barangan yang terlibat dianggarkan berjumlah RM2.055 bilion, merangkumi pelbagai jenis barangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, rokok merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 2,333 kes dengan nilai rampasan mencecah RM476 juta.

Kategori itu diikuti barangan lain-lain komoditi dengan 1,256 kes membabitkan nilai rampasan RM522.47 juta.

Katanya, kategori lain-lain komoditi berkenaan merangkumi pelbagai jenis barangan antaranya daging dan ayam beku, tekstil, tayar, alat ganti kenderaan, alat komunikasi serta mata wang.

Amran berkata, kejayaan JKDM menumpaskan sindiket pengedaran dadah melalui beberapa kes berprofil tinggi turut membuktikan komitmen berterusan jabatan dalam membanteras penyeludupan dadah, khususnya usaha membendung penyalahgunaan Malaysia sebagai negara transit bagi kegiatan pengedaran dadah antarabangsa.

Tambah beliau, hasil penguatkuasaan terhadap kes penyeludupan minuman keras di Sabah pada Ogos lalu turut memperlihatkan keberkesanan pemeriksaan kontena apabila sembilan kes cubaan penyeludupan berjaya dikesan.

“Pada tahun 2026, JKDM meneruskan dan memperkukuh pelaksanaan pendekatan berasaskan hasil (outcome-based approach) dengan memberi tumpuan kepada kes-kes penguatkuasaan berimpak tinggi, khususnya kes berskala besar yang melibatkan pengimportan dan pemeriksaan kontena.

“Melalui pendekatan yang lebih berfokus dan berimpak ini, JKDM bukan sahaja berperanan melindungi dan memelihara hasil negara, malah turut mempergiat usaha membanteras kegiatan penyeludupan dan perdagangan tidak sah demi menjamin kepentingan ekonomi serta keselamatan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×