ALOR SETAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah seberat 46 kilogram (kg) dipercayai dibawa masuk melalui laluan laut dari Indonesia.
Pengarahnya, Wan Marini Wan Hamzah berkata, rampasan bernilai RM3.9 juta itu susulan maklumat risikan lebih tiga bulan pasukannya yang membawa kepada satu operasi pada 21 Februari lepas di Kuala Muda.
“Dalam operasi itu, sepasukan pegawai JKDM Cawangan Penguatkuasaan Marin Langkawi dan Tanjung Dawai mengekori sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki warga Indonesia disyaki membawa bahan terlarang itu di Jalan Kota Kuala Muda.
“Pasukan kemudian mengarahkan suspek berusia 40-an memberhentikan kenderaan namun dia enggan bekerjasama. Pasukan bertindak memintas dan menahan kenderaan tersebut sebelum suspek melompat keluar untuk melarikan diri,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JKDM Kedah, di sini hari ini.
Tambah Wan Marini, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemukan beberapa bungkusan beg disyaki mengandungi dadah di tempat duduk belakang iaitu ekstasi seberat 15.72kg dan syabu 30.90kg.
“Dadah jenis ekstasi dan syabu ini dipercayai untuk pasaran gelap sekitar utara Semenanjung Malaysia dan jika terlepas di pasaran dadah itu boleh digunakan oleh kira-kira 500,000 penagih. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Katanya, penyeludup dipercayai menggunakan modus operandi baharu dengan menggunakan kepulauan sekitar Indonesia sebagai lokasi transit baharu sebelum membawa dadah ke negara ini.
“Memandangkan penguatkuasaan semakin ketat di sempadan Thailand jadi penyeludup menggunakan laluan laut dari Indonesia,” katanya. – UTUSAN










