Sembunyi lebih 20 tan beras seludup bawah timbunan temuk

Sembunyi lebih 20 tan beras seludup bawah timbunan temukut

TRELER membawa muatan beras yang cuba diseludup disita untuk siasatan lanjut di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu. - IHSAN AKPS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Cubaan menyeludup lebih 20 tan beras putih yang tidak diisytiharkan berjaya digagalkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.

Rampasan itu dilakukan selepas pegawai bertugas mengesan ketidakselarasan dalam dokumen pengisytiharan sebuah treler yang diikrarkan membawa temukut.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Fauzi Mohd. Yusof berkata, berdasarkan dokumen dikemukakan, konsainan tersebut diisytiharkan membawa 32 beg jumbo temukut dengan jumlah berat keseluruhan 33,040 kilogram (kg).

“Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati hanya 12 beg jumbo mengandungi temukut diletakkan di bahagian atas muatan, manakala 20 beg jumbo lain didapati berisi beras putih yang tidak diisytiharkan.

“Modus operandi dipercayai menggunakan timbunan temukut bagi menyembunyikan beras putih tersebut daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setiap beg jumbo berisi kira-kira 1,030 kg beras, menjadikan jumlah keseluruhan beras yang dirampas dianggarkan sebanyak 20,600 kg dengan nilai sekitar RM64,000.

Sehubungan itu katanya, sebuah treler dipandu lelaki warga tempatan berusia lingkungan 20-an bersama muatan beras tersebut telah disita dan kes diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan pemeriksaan di pintu masuk negara bagi memastikan semua barangan yang dibawa masuk atau keluar mematuhi peraturan ditetapkan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengelak daripada membuat pengisytiharan atau menyeludup barangan bagi mengelak kerugian hasil negara serta melindungi kepentingan keselamatan dan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

End
TRELER membawa muatan beras yang cuba diseludup disita untuk siasatan lanjut di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu. – IHSAN AKPS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN