KUALA LUMPUR: Halal bukan sekadar label semata-mata, sebaliknya simbol kepercayaan antarabangsa yang merangkumi integriti, kebersihan dan nilai sejagat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan pesat industri halal kini membuktikan pengiktirafan dunia terhadap konsep tersebut bukan sahaja dalam kalangan negara Islam, malah juga negara bukan Islam.
“Kita telah menyenaraikan pencapaian dalam dua hari ini dan menakjubkan sekali bukan sahaja daripada negara-negara Arab di Timur Tengah seperti UAE dengan sokongan rakan perniagaan kita, malah dari China juga kerana permintaan yang tinggi.
“Bayangkan, selepas puluhan tahun usaha, kini kita mendapat sokongan besar dari pelbagai negara kerana keperluan memajukan perdagangan dan perniagaan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Global Halal Summit (GHaS) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Anwar berkata, fenomena pelancong Muslim yang semakin ramai mengunjungi destinasi popular di seluruh dunia turut memperkukuh permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal.
“Saya yakin dengan masa, Insya-Allah, lebih banyak negara bukan Islam akan mengiktiraf keperluan produk halal yang diperakui, bukan hanya dalam makanan dan hospitaliti, tetapi turut merangkumi kewangan Islam, farmaseutikal, kosmetik dan penjagaan kesihatan.
“Sekali lagi saya tekankan bahawa halal adalah lebih daripada sekadar label,” katanya.-UTUSAN










