PETALING JAYA: Budaya ‘politik budak suruhan’ yang hanya tahu mengampu dan membisu akan mempercepatkan kejatuhan MCA serta menjejaskan masa depan Barisan Nasional (BN).
Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, sikap hanya mengiyakan tanpa keberanian menegur tidak akan mengembalikan kredibiliti atau kekuatan parti, sebaliknya melemahkan lagi keyakinan akar umbi terhadap kepimpinan.
“Budaya ini mungkin menyeronokkan pemimpin atasan buat sementara, tetapi ia tidak akan memulihkan parti. Kekalahan tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup mulut ahli. Itu bukan demokrasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lian Ker turut menyindir sindiran Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang pernah meminta MCA berdiam diri selepas kekalahan parti itu dengan menegaskan ahli MCA tidak sepatutnya dilarang menyuarakan pandangan.
Katanya, pengalaman peribadi membuktikan beliau tidak pernah menjadi ‘kaki bodek’ walaupun diketepikan parti sejak 2008, sebaliknya terus aktif menulis dan bersuara mempertahankan prinsip serta maruah MCA.
“Ramai di akar umbi kecewa bukan kerana parti kalah, tetapi kerana terlalu banyak mesyuarat dan perbincangan diadakan tanpa sebarang keputusan. Politik memerlukan keberanian, bukan sekadar melengah-lengahkan tindakan.
“Isunya bukan sekadar kekal atau keluar BN, tetapi tentang imej, naratif dan keberanian MCA menegur politik UMNO termasuk kerjasama dengan DAP yang boleh menjejaskan kelangsungan MCA,” katanya.
Lian Ker berkata, meskipun lantang mengkritik, beliau tidak pernah menyarankan MCA keluar BN, bahkan ketika BN tumbang pada 2018, beliau sendiri tampil mempertahankan kedudukan MCA dalam gabungan itu.
“MCA mesti kekal setia kepada BN, tetapi kesetiaan tidak bermakna berdiam diri. Kesetiaan tanpa keberanian hanyalah kehambaan dan ia tidak akan memenangkan pilihan raya,” katanya.
Sehubungan itu, Lian Ker menekankan hanya prinsip, keberanian serta kepimpinan tegas yang mampu memulihkan maruah MCA dan memastikan parti terus relevan dalam landskap politik negara.
Sebelum ini, Lian Ker menolak dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi bahawa beliau mahu parti itu keluar daripada BN sebaliknya tujuan adalah untuk menyelamatkan BN bukan meninggalkannya.
Mohd. Puad turut mendakwa MCA berpecah kepada dua kumpulan iaitu mendesak keluar segera daripada BN manakala satu lagi kumpulan masih ragu-ragu dan menuduh Lian Ker memihak kepada kumpulan pertama. – UTUSAN










