PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengadakan kunjungan
hormat terhadap Presiden Xi Jinping di Great Hall of the People pada pukul 6 petang hari ini, bagi menzahirkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan Kuala Lumpur–Beijing yang sekian lama terjalin.
Ini kali keempat kedua-dua pemimpin bertemu secara bersemuka selepas perjumpaan di Putrajaya bersempena dengan lawatan negara Jinping ke Malaysia pada April lalu.
Pertemuan tersebut diadakan bagi memperhalusi hubungan strategik dan meluaskan kerjasama perdagangan.
Selepas itu, Anwar akan bertemu dengan Perdana Menteri China, Li Qiang untuk mesyuarat dua hala, diikuti majlis makan malam khas bagi meraikan Anwar di Rumah Tamu Negara Diaoyutai.
Jadual Anwar hari ini turut merangkumi pertemuan perniagaan dengan JD.com dan China Semiconductor Industry Association (CSIA).
JD.com, ahli NASDAQ 100 dan syarikat Fortune Global 500 ialah peruncit e-dagang terbesar di China yang memberikan khidmat kepada lebih 580 juta pembeli di seluruh China.
Syarikat dipacukan teknologi itu mengendalikan infrastruktur pemenuhan terbesar di China, yang membolehkan 90 peratus pesanan dihantar pada hari sama atau keesokannya.
CSIA pula ialah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang dianggotai syarikat, pakar dan institusi yang terlibat dalam pembuatan, reka bentuk dan pembangunan berkaitan industri.
Anwar juga akan menghadiri Dialog Perniagaan dan Ekonomi Malaysia-China yang menghimpunkan 180 pemimpin perniagaan dan industri China daripada pelbagai sektor ekonomi.
Delegasi Perdana Menteri ke China kali ini turut disertai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz. – UTUSAN










