KUALA LUMPUR: Peranan Malaysia dalam menjadi pendamai terhadap Thailand-Kemboja tidak terhad kepada kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN sahaja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya berkata, mandat yang diberikan semua negara anggota ASEAN itu diteruskan walaupun Malaysia tidak lagi berperanan sebagai Pengerusi ASEAN.
“Mandat diberikan itu (oleh negara-negara ASEAN), diminta saya teruskan sehingga keadaan itu selesai.
“Jadi tidak terikat sangat dengan kedudukan sebagai pengerusi ASEAN dan tempoh penyelesaian ini memang kita jangka selewat-lewatnya dalam tempoh tiga bulan.
“Tetapi dalam mana-mana rundingan, kita tak boleh hadkan (tempoh waktu). Cuma yang kita tegaskan ialah mesti berlaku gencatan senjata,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) dalam soalan tambahan meminta Perdana Menteri menjelaskan mengenai sampai bila pasukan pemantau ASEAN dan Tim Pemantau Tetap (AMT) yang dipengerusikan oleh Malaysia akan menjalankan tugas pemantauan di sempadan Thailand dan Kemboja.
Anwar berkata, dengan cara ini juga ia dapat mengelak penyertaan dan pembabitan negara kuasa besar dalam rundingan antara negara anggota ASEAN.
“Kalaupun ada pasukan pendamai di sempadan, ia haruslah hanya terbatas kepada kehadiran wakil-wakil atau tentera negara ASEAN.
“Kalau bantuan logistik dari Amerika Syarikat (AS) dan China, itu kita alu-alukan kalau diberi beberapa kemudahan. Itu yang ditekankan setakat ini,” katanya.
Pada 28 Julai lalu, pemimpin Thailand dan Kemboja yang bertemu di Malaysia di bawah perantaraan Anwar setuju untuk melakukan gencatan senjata selepas berlaku ketegangan di sempadan kedua-dua negara.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai setuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat berhubung dengan isu pertikaian sempadan, hasil daripada mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Anwar di Putrajaya.
Dua negara jiran Asia Tenggara itu mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik membabitkan sempadan bersama sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan.
Ketegangan antara Thailand dengan Kemboja mula memuncak sejak 28 Mei, susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan Preah Vihear yang dipertikaikan, menyebabkan seorang anggota tentera Kemboja terkorban.-UTUSAN










